'Mereka tidak suka tengok muka saya' — Hamzah


  • Politik
  • Jumaat, 25 Mac 2022

HAMZAH mendakwa, Ahli Parlimen yang bertindak keluar Dewan Rakyat pada Rabu tidak suka melihat wajahnya. —MOHD SAHAR MISNI/The Star

MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin mendakwa, beberapa Ahli Parlimen bertindak keluar Dewan Rakyat ketika undi belah bahagi pada Rabu kerana mereka tidak suka melihat wajah beliau.

Ahli Parlimen kerajaan berbuat demikian ketika undi belah bahagi Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

"Orang sebegini tidak memikirkan tanggungjawab mereka demi kepentingan negara.

"Saya sudah cakap sebelum ini, isu Sosma adalah soal keselamatan negara," katanya kepada pemberita selepas Perbarisan Sambutan Peringatan Hari Polis ke-215 di Pusat Latihan Polis (Pulapol), dekat ibu negara pada Jumaat.

Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut itu mengakui kecewa dengan tindakan beberapa Ahli Parlimen kerajaan yang meninggalkan Dewan Rakyat.

"Saya kenal sebahagian daripada mereka yang sudah berada di dewan. Saya boleh namakan mereka. Mereka keluar sebaik sahaja pengundian bermula. Itu tidak adil.

"Sebab mereka tak suka muka saya,” katanya ketika ditanya tentang alasan wakil kerajaan yang bertindak keluar Dewan Rakyat.

Terdahulu, usul yang dibawa kerajaan di Dewan Rakyat untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) termasuk tempoh penahanan 28 hari selama lima tahun lagi gagal diluluskan, dengan Ahli Parlimen yang bersetuju seramai 85 orang, manakala yang tidak bersetuju 86 orang dan 49 lagi Ahli Parlimen tidak hadir.

Usul itu dikemukakan Hamzah sebelum dibahaskan oleh 19 orang Ahli Parlimen. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram