Peralihan BDR perlu digalakkan


  • Massa
  • Sabtu, 26 Mac 2022

AMALAN BDR sudah dipraktikkan sejak pandemik Covid-19 bermula pada Mac 2020. — The Star

SEJAK beberapa tahun lalu, majikan sudah menyesuaikan diri dengan pandemik Covid-19 apabila membenarkan pekerja mereka bekerja dari rumah (BDR).

Kini, sekatan pergerakan sudah dilonggarkan, banyak majikan memaksa pekerja untuk kembali ke tempat kerja walaupun pekerjaan berkenaan boleh dilakukan dengan baik di rumah.

Perkara ini amat malang kerana BDR boleh mendatangkan banyak faedah kepada majikan, pekerja dan masyarakat Malaysia khususnya.

Justeru itu, kerajaan harus menggalakkan majikan untuk menjadikan BDR sebagai dasar tetap bagi pekerjaan yang sesuai dengan langkah tersebut.

Menurut pensyarah di Xiamen University Malaysia, Prof Dr Darren Ong Chun Lee, pekerja akan mendapat manfaat daripada BDR kerana menjimatkan masa untuk berulang alik dari rumah ke tempat kerja serta menjadikan kehidupan lebih mudah bagi mereka yang mempunyai anak atau ibu bapa yang sudah berusia.

"Dalam jangka masa panjang, majikan juga akan mendapat manfaat kerana mereka dapat menjimatkan sewa pejabat dan kos utiliti apabila bilangan pekerja di pejabat berkurangan.

"Tambahan pula, BDR akan memudahkan majikan untuk mengupah dan mengekalkan bakat terbaik.

"Sebagai contoh, sebuah syarikat di ibu negara akan dapat mengupah seseorang dari Sabah yang dikenal pasti sebagai bakat terbaik untuk sesuatu pekerjaan berkenaan tetapi tidak mahu berpindah ke lokasi lain.

"Peningkatan pelaksanaan dasar BDR akan mengurangkan kesesakan lalu lintas di bandar-bandar utama Malaysia, mengurangkan tekanan di jalan raya dan infrastruktur pengangkutan awam kita.

"Situasi itu turut memberi manfaat kepada mereka yang terpaksa bekerja di pejabat dengan mengurangkan masa perjalanan ke tempat kerja.

"Pengurangan penggunaan kenderaan bermotor juga dapat dilaksanakan, sekali gus memberi kesan positif kepada alam sekitar. Ini amat penting kerana krisis perubahan iklim.

"BDR akan menghidupkan semula kawasan luar bandar dan bandar kecil kerana penduduk mampu bersaing untuk mendapatkan pekerjaan di bandar-bandar besar tanpa perlu berhijirah.

"Bagi pekerjaan yang tidak boleh dilakukan sepenuhnya dari rumah, pekerja perlu diberi kelonggaran untuk datang ke pejabat satu atau dua kali dalam tempoh seminggu.

"Majikan enggan meneruskan polisi BDR selepas pandemik Covid-19 berikutan bimbang tentang kerjasama sepasukan dan khuatir pekerja sukar untuk diuruskan sekiranya sekiranya BDR.

"Kerajaan harus mengambil langkah dengan menyediakan latihan tentang kaedah menguruskan pekerja yang BDR.

"Pembangunan Sumber Manusia Berhad boleh menjalankan latihan ini.

"Kerajaan juga harus memberi insentif kepada majikan yang membenarkan pekerja BDR.

"Kerajaan turut disaran menunjukkan contoh yang positif dengan melaksanakan BDR untuk penjawat awam dan syarikat berkaitan kerajaan.

"Ramai rakyat Malaysia sudah BDR ketika pandemik dan masih mengekalkan kualiti mereka.

"Menjadikan amalan BDR sebagai ciri tetap landskap pekerjaan memerlukan pelarasan dan pemikiran di luar kotak daripada majikan.

"Kerajaan memainkan peranan penting untuk menggalakkan peralihan ini," katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram