PROSEDUR operasi standard (SOP) terbaharu kerajaan berhubung isolasi individu positif Covid-19 dan kontak rapat mengundang keluhan orang ramai.
Antara isu yang berbangkit termasuk soal penempatan sementara bagi pekerja yang negatif wabak itu sehingga ada yang terpaksa menanggung kos sewa hotel selepas tidak boleh pulang ke rumah sewa kerana ada rakan serumah yang menjalani kuarantin.
Seorang pekerja swasta yang hanya mahu dikenali sebagai Sufian menghubungi Majoriti dengan luahan dia terpaksa menghabiskan duit untuk menyewa hotel selepas rakan serumahnya posifit Covid-19.
Katanya, dia mengetahui keadaan serumahnya ketika dalam perjalanan pulang dari kampung di Pahang.
"Saya masih perlu masuk kerja kerana majikan tidak mempunyai staf yang ramai. Tapi saya tidak boleh pulang ke rumah kerana kawan saya positif Covid-19.
"Majikan kata mereka tidak tanggung kos untuk sewa hotel atau bermalam tempat lain. Keadaan ini membuatkan saya tersepit dan terpaksa mengeluarkan duit sendiri menyewa hotel.
"Bayangkan kalau kos sewa hotel sehari RM50, jika lima hari sudah RM250," katanya yang bekerja dan menyewa di Shah Alam.
Seorang lagi pekerja dikenali sebagai Suhaimi berkata, dia berdepan dilema apabila diarahkan bekerja sedangkan keluarganya positif Covid-19.
Walaupun dia disahkan negatif virus itu, tetapi masih perlu menjaga makan dan minum anak serta isterinya yang menjalani kuarantin kendiri.
"Saya tidak diletakkan sebagai status kontak rapat kerana baru pulang dari outstation, tetapi dimaklumkan isteri dan anak positif Covid-19.
"Jika ikutkan, saya perlu menjaga mereka sepanjang tempoh kuarantin tetapi majikan suruh saya bekerja memandangkan status saya masih 'hijau'.
"Jika saya mahu menjaga keluarga, saya perlu mengambil cuti tahun tetapi majikan tidak benarkan kerana kekurangan staf," katanya yang bekerja di Lembah Klang.
ADA kalangan rakyat berdepan dilema sama ada perlu menjaga keluarga yang positif Covid-19 atau mengikut arahan majikan untuk terus bekerja.
Senasib dengan Suhami, pekerja swasta di Setia Alam, Khalilah mendedahkan dia pernah menerima gaji hanya RM500 sebulan gara-gara majikannya menolak gaji daripada cuti kuarantin.
Katanya, dia menjalani tempoh kuarantin hampir dua minggu selepas suami dan anaknya dijangkiti wabak itu secara berturut-turut, menyebabkan statusnya bermula sebagai kontak rapat sebelum disahkan positif Covid-19.
"Disebabkan tempoh kuarantin itu, saya hanya menerima gaji RM500 sebulan berbanding RM2,500 yang sepatutnya saya dapat. Saya sudah bangkitkan perkara ini tetapi mereka beri alasan syarikat tiada duit.
"Bukan sengaja saya tidak mahu kerja tetapi kami sekeluarga terpaksa kuarantin, tambahan lagi anak saya masih kecil berusia dua tahun dan perlu menyusu," kata wanita itu yang kemudiannya mengambil keputusan untuk berhenti kerja.
Sementara itu, semakan Majoriti menerusi media sosial juga mendapati ada pekerja atau keluarga yang berdepan masalah sama termasuk dipaksa mengambil cuti tanpa gaji.
Seorang pengguna Facebook, Shazlin Nazli mendakwa, masih ramai lagi majikan yang memandang enteng tentang perkara itu, yang mana kontak rapat tidak bergejala perlu ditolak hari cuti atau gaji sekiranya bertegas mahu kuarantin.
"Jangan pentingkan diri. Kalau macam ni punya sikap la, sampai Raya Haji tahun Ya pun tak akan habis kesnya," katanya menerusi hantaran di laman Facebook.
Turut mengecam, Muhamad Nasron Nasir berkata, sekiranya seseorang pekerja mempunyai pilihan untuk tidak mendapatkan suntikan dos penggalak, individu tersebut terpaksa kuarantin selama lima hari.
Justeru, dia mempersoalkan sama ada menjadi satu kesalahan jika majikan menjadikan cuti kuarantin sebagai cuti tidak berbayar.
"Sebab pilihan dah ada, siapa tak nak ambil booster (dos penggalak), itulah pilihannya.
"Majikan pula tak perlu pening kepala para pekerja ambil kesempatan dan majikan merana sebab staff asyik kena kuarantin sahaja. Tapi saya yakin, kerajaan sekarang ni buat dasar tak fikir holistik," katanya menerusi Facebook.
Pada masa sama, Dr Md Azhari Md Zhahir berkata, terdapat seorang pekerja yang didapati positif Covid-19 perlu kuarantin selama 10 hari serta datang ke kliniknya untuk meminta surat sijil sakit (MC).
Beliau yang juga seorang doktor di sebuah klinik swasta berkata, sekiranya pekerja itu tidak mendapat surat MC, majikannya enggan untuk memberikannya gaji.
"Sebenarnya MC tak boleh beri untuk kuarantin. Dan bila kena kuarantin, majikan masih perlu bayar gaji. Tak perlu pun keluarkan MC," katanya menerusi laman Facebook.
Beliau berkata, pekerja tersebut telah pergi ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) namun tiada sebarang surat diberikan, sebaliknya dia perlu mengemaskini perkara itu di MySejahtera.
Lebih teruk, katanya, majikannya tidak mahu menerima alasan tersebut, tambahan pula CAC tidak dibuka pada minggu ini.
"Tapi petang ni khas untuk bantu pekerja ni seorang. Jadi petang ni minta pekerja tu datang balik untuk pakaikan gelang dan beri surat arahan kuarantin untuk diberikan copy (salinan) kepada majikan.
"Majikan tak boleh tolak tau surat ni. Kalau berani cubalah," katanya sambil berkongsi surat sokongan buat pekerja tersebut.
SURAT sokongan Dr Md Azhari kepada pekerja tersebut. — Facebook
Bermula 1 Mac 2022, kerajaan menguatkuasakan notis Prosedur Pengurusan Kes Positif dan Kontak Rapat Kes Covid-19 Mengikut Status Vaksinasi Covid-19.
Bagi individu yang positif Covid-19, tempoh isolasi atau kuarantin untuk mereka yang telah lengkap vaksinasi atau menerima dos penggalak adalah selama tujuh hari, manakala mereka yang tidak lengkap atau tiada vaksinasi perlu kuarantin selama 10 hari.
Tempoh isolasi adalah sama untuk mereka yang mempunyai gejala dan tidak bergejala.
SOP terbaharu kerajaan berkaitan isolasi individu positif Covid-19 dan kontak rapat.
Bagi kontak rapat yang telah menerima dos penggalak, mereka yang tidak bergejala tidak perlu kuarantin, manakala individu yang bergejala perlu kuarantin selama lima hari.
Selain itu, kontak rapat yang lengkap vaksinasi perlu kuarantin selama lima hari sama ada mereka mempunyai gejala atau tidak bergejala.
Kontak rapat yang tidak lengkap vaksinasi atau tiada vaksinasi perlu kuarantin selama tujuh hari sama ada mereka mempunyai gejala atau tidak bergejala. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram