"SEMUANYA hilang gara-gara Covid-19 hingga saya hampir nak menjual semua set siar raya (PA System) dan menutup terus syarikat saya."
Itu luahan pemilik perkhidmatan siar raya Sound 13, Shaikh Muhammad Naguib Shaik Mohamed yang kini semakin 'bernafas' semula rentetan prosedur operasi standard (SOP) baharu yang ditetapkan kerajaan.
Menurut Naguib, perniagaan yang diusahakannya sejak 2012 itu sepatutnya sudah mempunyai perancangan rapi dan tersusun pada 2019.
NAGUIB bersama sebahagian daripada rakannya di dalam Sound 13.
"Sebelum itu saya dah mengambil masa yang agak lama untuk memperkukuhkan jenama Sound 13 dan Alhamdulillah, tahun demi tahun, ramai yang mula kenal.
"Pada 2019 juga semuanya berjalan dengan lancar dan seperti yang dirancangkan sehinggalah secara tiba-tiba Covid-19 melanda dunia.
"Pada awal-awal itu saya taklah rasa risau sangat tetapi bila wabak itu sudah mula merebak, itu yang buat saya risau sebab saya memang sepenuhnya berniaga," katanya kepada Majoriti.
Selepas negara mula diserang Covid-19, kerajaan membuat keputusan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehinggakan semua sektor ekonomi ketika itu ditutup.
"Memang saya buntu ketika itu sebab banyak benda yang perlu ditanggung antaranya ialah sewa stor untuk menempatkan semua barangan siar raya saya.
"Semua tawaran kerja ketika itu dibatalkan sebab segala majlis tidak dibenarkan.
"Hidup perlu diteruskan dan berbekalkan kewangan syarikat yang masih ada, saya gunakan untuk bayar semua kos bulanan dan mula menjadi pemandu e-hailing," katanya.
Menurut Naguib, bergelar pemandu e-hailing tidaklah menjanjikan pendapatan yang lumayan tetapi cukuplah untuknya menampung perbelanjaan harian.
Namun katanya, ketika kerajaan mula mengumumkan pembukaan sektor ekonomi, dia mula merasakan sinar untuk mengembalikan perniagaannya.
"Tetapi itulah, perniagaan saya ini antara yang paling lama dibenarkan kerana kerajaan tidak membenarkan sebarang majlis sosial secara besar-besaran.
"Ketika orang lain sudah mula rancak mengatur semula perniagaan mereka, itu yang saya rasa seperti hendak jual sahaja set siar raya dan menutup syarikat.
NAGUIB juga bertanggungjawab memastikan setiap majlis berjalan lancar dan meriah.
"Namun sokongan daripada rakan-rakan dan rasa sayang terhadap syarikat yang saya usahakan sejak 2012 ini membuatkan saya terus bertahan.
"Alhamdulillah, bila kerajaan membenarkan majlis keraian dan sebagainya, tawaran mula hadir dan rakan-rakan dalam bidang yang sama juga banyak membantu untuk saya terus mengekalkan Sound 13," katanya.
Jangan 'tekan' penyedia perkhidmatan siar raya
Dalam pada itu, Naguib juga berharap supaya mereka yang ingin menggunakan PA sistem supaya tidak meletakkan harga yang terlalu rendah.
Menurut Naguib, buat masa ini harga pasaran untuk khidmat PA sistem bagi majlis keraian atau kenduri kahwin diletakkan serendah RM600.
"Harga RM600 itu pun masih ada yang kata mahal dan mahu murah lagi sedangkan nak mempersiapkan alatan PA sistem ini bukannya mudah.
"Semua alatan yang digunakan adalah berat dan memerlukan kudrat yang tinggi dan jika terlalu rendah, agak tidak berbaloi untuk kami," katanya.
Disebabkan itu juga kata Naguib, dia juga berharap supaya rakan-rakan yang menyediakan PA System juga tidak menawarkan harga yang tidak masuk akal.
"Kalau boleh biarlah harga yang ditetapkan kepada pelanggan itu selaras semuanya. Tidak terlalu rendah dan tidak terlalu tinggi.
"Pelanggan juga saya harap janganlah terlalu rendah meletakkan harga sedangkan PA System adalah sesuatu yang sangat penting lagi-lagi kalau mengadakan kenduri kahwin.
"Bayangkan kalau tiada PA System, rasa macam majlis perkahwinan tak lengkap," katanya yang berharap supaya kedua-dua pihak dapat berada dalam situasi menang-menang antara satu sama lain pada masa mendatang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram