Bukan ‘Langkah Putrajaya’, rupanya Menteri Umno hanya bersarapan pagi


  • Politik
  • Jumaat, 25 Mac 2022

NOH merasa hairan tindakan mereka bersarapan boleh dijadikan isu, sedangkan tiada apa-apa yang berlaku. — Bernama

KEHADIRAN beberapa menteri Umno di sebuah hotel di Putrajaya pada pagi Jumaat adalah secara spontan untuk bersarapan, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar.

"Itu sarapan pagi secara spontan apabila Mesyuarat Kabinet tangguh pukul 10 pagi sebab Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Ismail Sabri (Yaakob) ada program Hari Polis (Peringatan Hari Polis ke-215),” katanya ketika ditanya mengenai pertemuan beberapa menteri Umno di hotel itu pagi Jumaat.

Noh yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor berkata, beliau merasa hairan tindakan mereka bersarapan boleh dijadikan isu, sedangkan tiada apa-apa yang berlaku.

"Hari ini Mesyuarat Kabinet bermula lewat, hari ini Jumaat selalu kita bermula pukul 9 pagi sebab kita nak habiskan sebelum 1 tengah hari,” katanya kepada pemberita selepas melawat rumah penerima bantuan zakat di Parit 4, di Tanjung Karang, Kuala Selangor, Selangor.

"Tapi hari ni oleh kerana PM menghadiri Hari Polis, mesyuarat mula 10 pagi jadi kami yang sampai awal, kami pergi sarapan pagi dekat hotel di depan bangunan Jabatan Perdana Menteri sahaja,” katanya lagi sambil menambah tiada mana-mana timbalan menteri yang hadir ketika itu.

Dalam pada itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa dalam ciapan di Twitter beliau turut memperakui perkara yang sama.

”Pagi ini mesyuarat Kabinet lewat satu jam kerana YAB PM hadiri Hari Polis. Sementara menunggu, kami bersarapan capati di Hotel Pulse Grande Putrajaya, YB Reezal Merican (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican) belanja,” ciapnya.

Di Kuala Lumpur, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menafikan terdapat perbincangan berkenaan pembubaran Parlimen dalam pertemuan melibatkan jemaah menteri dan timbalan menteri Umno di Putrajaya pada pagi Jumaat.

"Kita hanya bersarapan pagi. Datuk Seri Reezal (Merican) belanja sebab kita dah lama tak jumpa. Tiada (perbincangan) pembubaran Parlimen,” katanya dalam sidang media selepas lawatan kerja ke Ibu Pejabat Kebangsaan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM). — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

noh, mesyuarat, umno, hotel, hari polis