Syeera Aziz tahu sakitnya dikecam, tak mahu berulang lagi


  • Hiburan
  • Sabtu, 26 Mac 2022

SYEERA kini tampil dengan single terbaharu berjudul Panggil Sayang.

MUNGKIN ramai tidak kenal dengan penyanyi baharu, Syeera Aziz yang sebelum ini pernah menyertai program Mentor Milenia dan menjadi protege kepada Black Hanifah.

Masih baharu dalam dunia seni, Syeera tidak terlepas daripada menjadi mangsa kecaman di media sosial hanya kerana badannya yang sedikit berisi.

Bercerita mengenai perkara itu, Syeera mengakui yang dia sehingga kini tidak mahu episod kecaman itu berulang kembali.

"Saya belum bersedia untuk dikecam sekali lagi. Pengalaman sebelum ini sangat teruk sehingga menganggu emosi. Kecaman diterima hanya kerana saya sedikit berisi adalah sangat keterlaluan.

"Jadi saya fikir untuk sekarang ini tak perlu nak ulang lagi. Saya takut kalau buat gimik bukan-bukan, lebih teruk saya kena. Memang kita tak boleh nak halang apa orang cakap, tapi selagi kita boleh kawal tindakan kita, saya cuba. Tapi, jika gimik yang nak dibuat itu saya boleh terima, saya okay saja," katanya.

Disebabkan itu juga kata Syeera, dia yang tampil dengan single terbaharunya berjudul Panggil Sayang, tidak mahu menjadikan gimik sebagai sebahagian daripada cara dia memperkenalkan lagunya.

"Sebelum ini tak terfikir nak buat marketing macam itu baik dari segi gimik bukan-bukan atau apa saja. Malah, saya juga tak tahu jika perkara itu boleh menaikkan lagu kita.

"Tapi sekarang saya fikir tak perlukan nak buat gimik sehingga mengundang kecaman. Saya selesa menjadikan platform TikTok sebagai medium untuk mempromosikan lagu ini," katanya.

Mengulas mengenai single terbaharunya ciptaan Shazee Ishak, Audi dan Arisz Ab Rahman, dia menyifatkan lagunya itu sebagai sesuatu yang fresh.

"Kelebihan yang ada pada lagu ini adalah ia sebuah lagu yang fresh, lirik dan melodi yang senang untuk pendengar ingat dan sing-along. Lirik pula yang boleh dikaitkan dengan ramai pendengar.

"Dalam masa sama, lagu ini sangat kena dan sesuai dengan trend lagu masa kini yang boleh digunakan untuk kandungan media sosial. Jadi, bagi saya ia sebuah karya yang menarik," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram