
SEORANG ibu melahirkan rasa kecewa dan sedih apabila anaknya yang berusia lima tahun dikatakan tidak dapat membiasakan diri dengan suasana di Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Perpaduan (TP) walaupun hanya lima hari budak lelaki itu dihantar ke premis tersebut.
Menerusi catatan di Facebook, Siti Sofia Hussein berkata, dia kini dalam dilema sama ada mahu meneruskan atau memberhentikan sekolah anaknya berikutan cikgu Tabika itu mendakwa berasa tertekan ekoran kanak-kanak itu sering menangis hingga mengganggu sesi pengajaran dan pembelajaran (P&P).
LUAHAN Siti Sofia berhubung keadaan anaknya. — Facebook
"Lepas dapat WhatsApp daripada cikgu terus pergi ambil anak di Tabika. Anak baru lima hari sekolah, dia tidak biasa lagi dengan suasana baharu tanpa orang dikenali.
"Nak hantar sekolah swasta terus-terang saya cakap tiada kemampuan. Yang faham saja faham.
"Nak berhentikan sekolah?? Macam mana dengan pembelajaran dan pergaulan kalau tidak dari sekarang kan? Nanti umur 6, 7 tahun sama juga permulaan sekolah.
"Perlu ke berhentikan sekolah dia??? (Masuk) 6 tahun nanti baru sekolah balik??," luahnya di Facebook pada Jumaat.
Siti Sofia turut berkongsi tangkap layar perbualannya dengan cikgu terbabit.
TANGKAP layar perbualan Siti Sofia dan cikgu itu. — Facebook
Menerusi tangkap layar itu, cikgu TP tersebut memaklumkan bahawa dia berasa stres dengan anak wanita berkenaan yang dikatakan sering menangis.
"Lebih baik dia tidak hadir sekolah sebab dia asyik nak balik sahaja. Ganggu anak-anak lain nak belajar. Puan pun belum ada buat pembayaran apa-apa kepada pihak kami.
"Anak yang menangis datang sekolah pun tak macam dia," tulisnya dengan mendakwa budak itu mahukan perhatian terhadap diri seorang apabila Siti Sofia bertanya sama ada normal atau tidak anaknya berkelakuan sedemikian.
TANGKAP layar perbualan Siti Sofia dan cikgu. — Facebook
Siti Sofia turut memuat naik tangkap layar yang menunjukkan mesej cikgu itu memberitahu bahawa anaknya dirasakan masih belum bersedia untuk ke sekolah.
"Dia belum bersedia untuk bersekolah. Bukan tak boleh handle (kendali) tapi dia merengek nak ibunya, nak balik. Puan nak anak puan sekolah tapi dia tidak berminat untuk sekolah.
"Sepatutnya puan dah latih masa umur tiga dan empat tahun lagi. Bagi buku-buku cerita, ajar membaca jadi timbul minat untuk dia.
"Masalahnya tiada kesedaran nak belajar. Puan kena bercakap dengan dia pentingnya pelajaran. Kalau dia tak nak sekolah pada tahun depan dah enam tahun kena pergi sekolah.
"Sekarang dia lima tahun kan, perkembangan tumbesaran dia untuk belajar masih belum bersedia," dakwa guru terbabit.
TANGKAP layar perbualan Siti Sofia dan cikgu Tabika. — Facebook
Siti Sofia menerusi satu hantaran berasingan berkata, dia bukan tidak mengajar anaknya tetapi didikan yang diberi adalah perkara asas sahaja, tidak seperti yang diperoleh jika ke sekolah.
"Setakat boleh tulis 1 hingga 20, mengenal ABC, menulis abjad itupun kadang-kadang terbalik, anak saya tak pandai baca macam budak-budak lima tahun yang lain.
LUAHAN Siti Sofia berhubung keadaan anaknya. — Facebook
"Tak layak ke nak masuk TP ni. Tak normal ke kanak-kanak lima tahun macam ni?.
"Saya pun tak tahu umur berapa kesedaran nak belajar kanak-kanak timbul untuk belajar ada. Apa perlu saya buat?," soalnya bingung.
Perkongsian Siti Sofia menerusi kedua-dua hantaran itu masing-masing mendapat 10,000 dan 2,700 perkongsian semula setakat 5 petang Jumaat.
Dalam pada itu, Majoriti sedang berusaha mendapatkan Kementerian Perpaduan Negara berhubung isu tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram