Suami Kanti Utami penyayang, kirim belanja hampir RM740 sebulan


  • Benua
  • Rabu, 23 Mac 2022

KANTI menggemparkan Indonesia selepas membunuh salah seorang anaknya kerana tidak mahu mereka hidup susah. — Agensi

SUAMI kepada Kanti Utami, ibu muda berusia 35 tahun yang menyembelih anaknya di Desa Tonjong, Brebes, Indonesia masih tidak percaya dengan apa yang menimpa keluarga kecilnya.

Lelaki itu, Ahmad Latif, 36 tahun, kini masih dalam keadaan terkejut dan sering menangis. Perkara itu disampaikan oleh jiran mereka, Elvin Kristian.

Menurut Elvin, sebaik menerima perkhabaran berhubung kejadian itu, suami Kanti segera pulang dari Jakarta.

Dia menangis dan tidak menyangka kejadian tragis itu menimpa keluarga kecilnya.

“Kelmarin dia bertemu saya dan saya terus memeluknya. Dia menangis seperti tidak percaya apa yang berlaku," kata Elvin kepada PanturaPost pada Selasa.

Katanya, penduduk kampung mengenali Ahmad Latif sebagai seorang bapa yang menyayangi keluarganya.

"Ia dapat dilihat daripada detik-detik dia bersama keluarga ketika di rumah mahupun ketika mereka jalan-jalan. Ke mana dia pergi pasti bersama isteri dan anak-anaknya. Jadi apa yang kami tahu mereka baik-baik saja,” kata Elvin.

Berdasarkan maklumat yang diterima daripada pihak keluarga, keadaan kewangan mereka juga agak stabil.

"Lebih-lebih lagi kini suaminya sudah bekerja sebagai pengawal keselamatan dan kerap menghantar wang kepada Kanti setiap bulan.

kanti-utami-31088d786e6b26bdf5459db27dd857c8_600x315

KANTI menyediakan perkhidmatan solekan pengantin untuk menambah pendapatan keluarga. — Agensi

“Maklumat daripada Abang Latif, setiap bulan dia pasti menghantar 2.5 juta rupiah (RM734.82). Jadi kalau masalah disebabkan faktor ekonomi sebenarnya tidak benar.

"Ini kerana Latif bekerja sebagai pengawal keselamatan, walaupun kontraknya telah tamat dan menganggur, dia bekerja semula.

"Kanti pula telah membuka sebuah salun kecantikan dan perkhidmatan solekan pengantin untuk menambah pendapatan keluarga,” jelas Elvin.

Sementara itu, Elvin berkata, Kanti dikenali dengan sikap pendiam.

"Apabila ada masalah, dia jarang bercerita kepada keluarga. Apa yang jelas, Kanti seorang yang suka berahsia. Dia tidak pernah mahu meminta pertolongan apabila ada barang dapur habis atau wang untuk beli makanan anak-anak habis,” katanya.

Tambah Elvin, Kanti dan Latif sebenarnya sudah berkawan sejak kecil.

Mereka berdua adalah rakan sekelas ketika mereka masih di sekolah rendah selain tinggal di kampung sama.

“Saya mengenali mereka berdua dan secara peribadi tidak percaya dengan apa yang berlaku kerana mereka baik-baik saja setakat ini.

"Semua ahli keluarganya berpendapat sama. Hubungan mereka memang harmoni,” ujarnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram