MENGAMALKAN tabiat puasa secara bersela atau Intermittent Fasting (IF) memiliki banyak manfaat kepada kesihatan.
Individu yang biasa melakukan puasa IF pasti kebanyakannya dapat menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan dengan mudah.
Ini kerana kita sudah melatih diri untuk tidak makan dalam suatu tempoh antara 12 hingga 16 jam selain melawan cabaran pedih perut, dan rasa lemah dan letih.
Pengamal perubatan am, Dr Zubaidi Ahmad berkata, Ramadan adalah bulan penentuan sama ada kita mampu menghadapi cabaran beribadah atau tidak.
Beliau turut berkongsi tip untuk berdiet pada bulan puasa dengan cara yang mudah.
1) Niat puasa
Niatkan puasa ini kerana ALLAH SWT. Bukan mahu kurus atau sihat. Tapi percayalah ALLAH SWT akan kurniakan kebaikan dunia (kurus dan sihat) dan akhirat (ganjaran pahala dan syurga) jika kita taat melakukan perintah.
2) Bangun awal
Masa yang paling baik untuk bangun ialah kira-kira pukul 4.30 pagi. Selepas ibadah, pastikan kita bersahur dengan ringkas tetapi berkhasiat.
3) Pengambilan makanan
Tidak perlu mengambil makanan berat terutama pada minggu pertama puasa. Ia mungkin mengganggu penghadaman kita. Selain itu, kurangkan makanan bersantan, terlalu pedas atau terlalu berkanji.
Dicadangkan supaya mengambil satu atau dua senduk nasi bergantung kepada pekerjaan, protein (sekurang-kurangnya telur atau ikan), sayur rebus atau tumis ringkas (kubis, terung, lobak, bunga kubis) selain buah-buahan yang dipotong (epal, jambu batu, pisang).
4) Ambil minyak zaitun
Amalkan pengambilan satu atau dua sudu minyak zaitun bagi memudahkan penghadaman. Minum dua hingga tiga gelas air sepanjang bersahur agar tubuh rehidrasi dan bertenaga.
5) Tidur
Jangan tidur selepas solat Subuh kerana ia akan mengganggu pencernaan. Mungkin kita boleh melelapkan mata sebentar sebelum masuk waktu solat Zuhur.
6) Berbuka puasa
Kita berbuka lebih kurang pukul 7.15 malam. Bagi pengamal diet, bolehlah minum air kosong dulu dua hingga tiga gelas. Ambil kurma dua ke tiga biji atau buah yang lain. Makan berat pula selepas tarawih.
Bagi yang mahu tetap dengan air kosong pula, boleh bertahan sehingga selepas tarawih untuk makan malam seperti biasa. Bagi yang baru cuba memulakan, kita berdiet mengikut masa berpuasa. Cuma fokus kepada pemakanan.
Jika anda memang ingin mengambil peluang ketika Ramadan untuk berubah, inilah masanya. Bagi yang bersungguh-sungguh pastinya akan mendapat apa yang dicita-citakan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram