Pelajar kolej mabuk tak mengaku bersalah rempuh pekerja DBKL sampai mati


YEN Hue (tengah) mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian seorang pekerja subkontraktor DBKL pada 12 Mac lalu. — Bernama

SEORANG penuntut sebuah kolej mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Jumaat atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian seorang pekerja subkontraktor Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada Sabtu lalu.

Mengikut pertuduhan, Lo Yen Hue, 24, didakwa memandu kenderaan jenis Toyota Sienta di bawah pengaruh alkohol sebanyak 184 miligram (mg) dalam 100 mililiter (ml) darah.

Ia melebihi 134mg alkohol daripada had yang ditetapkan iaitu 50mg alkohol dalam 100ml kandungan darah, yang tertuduh tidak berdaya mengawal kenderaan itu dan menyebabkan kematian Yap Kwee Chee, 74, di Jalan Kuching menghala ke Batu Caves, Kuala Lumpur pada 3.15 pagi, 12 Mac lepas.

Lelaki itu dituduh mengikut Seksyen 44(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak melebihi 15 tahun serta denda tidak kurang RM50,000 dan tidak melebihi RM100,000 dan hilang kelayakan memandu untuk tempoh tidak kurang 10 tahun dari tarikh disabitkan kesalahan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nursyuhada Abd Rauf menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin manakala peguam K.A Ramu yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah kerana anak guamnya telah memberikan kerjasama baik sepanjang siasatan dijalankan.

Majistret Amanina Mohamad Anuar membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Mei untuk sebutan kes.

Pada 12 Mac lepas, media melaporkan pekerja subkontraktor DBKL itu yang sedang melakukan kerja-kerja memotong pokok maut dirempuh pemandu mabuk dan mangsa yang berusia 74 tahun itu mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia di lokasi kejadian. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram