Anggota polis parah dirempuh pemandu positif dadah di SJR Serdang


  • 112
  • Sabtu, 05 Feb 2022

KEADAAN Toyota Vios milik suspek selepas merempuh anggota polis di SJR di Jalan Besar Seri Kembangan, Serdang. — Sinar Harian

SEORANG anggota polis cedera parah selepas dirempuh sebuah Toyota Vios yang dipandu pemandu positif dadah ketika bertugas di sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Besar Seri Kembangan di Serdang, Selangor pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalangan berkata, dalam kejadian jam 1.53 pagi itu, mangsa, Lans Koperal Meor Mohd Asri, 33, mengalami patah kaki kanan, cedera di kedua-dua belah tangan dan menerima sebanyak enam jahitan di kepala.

Susulan kejadian itu, beliau berkata, sepasukan polis dari Balai Polis Seri Kembangan bersama unit kereta peronda (MPV) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang berjaya menahan tiga orang suspek di Jalan SP5/2 Taman Serdang Perdana, Serdang sekitar jam 5.30 pagi Sabtu.

"Hasil keputusan ujian saringan awal air kencing ketiga-tiga suspek didapati positif dadah jenis amphetamine, methamphetamine dan ketamin.

"Ujian pernafasan kandungan alkohol terhadap suspek pula adalah negatif," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Menurutnya, suspek pertama yang merupakan pemandu kereta adalah seorang lelaki berusia 29 dengan 14 rekod jenayah dan dadah serta 16 kesalahan trafik.

Suspek kedua pula merupakan seorang wanita berusia 24 tahun yang berada sama dalam kenderaan dan mempunyai tiga rekod lampau kes dadah manakala suspek ketiga adalah pemilik kenderaan yang merupakan seorang lelaki berusia 29 tahun, bekerja sebagai juruteknik dan mempunyai empat rekod kes jenayah, jelas beliau.

Tambahnya, mangsa sedang menerima rawatan lanjut dan berada dalam keadaan stabil.

"Kes akan disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan Seksyen 26 Akta Polis serta Seksyen 44(1A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," ujar Anbalangan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram