Pekerja Jaya Grocer dakwa jadi kambing hitam curi motor RXZ di Damansara Damai


  • Tular
  • Khamis, 17 Mac 2022

TANGKAP Layar rakaman aksi dua lelaki mengangkut motor RXZ masuk ke sebuah lori di Damansara Damai.

KEJADIAN tular sebuah motor RXZ yang diangkut oleh dua orang lelaki masuk ke sebuah lori di Damansara Damai pada Rabu masih menjadi tanda tanya siapakah pelaku di sebalik rakaman itu.

Pemilik motor berkenaan, Mohammad Farid Nostan berkata, kali terakhir dia melihat motosikalnya pada pagi Rabu dan apabila dia pulang ke rumah pada petang, motornya itu sudah tidak kelihatan di kawasan parkir berkenaan.

Menurutnya, pencuri berkenaan membuat 'kerja' kurang 15 minit sahaja, bermula dalam pukul 4.40 petang dan kira-kira pukul 4.53 motornya telah lesap.

RAKAMAN tular kecurian motor RXZ di Damansara Damai.

Dia cuba mencuba bertanya kepada pengawal keselamatan di situ tentang motornya tetapi dia dimaklumkan 'polis' yang membawa motorsikal tersebut.

"Security itu cakap, motor itu nak dibawa ke balai. Guard itu bukan orang Malaysia, jadi bahasa Melayu dia pun saya tidak faham. Dia cuma cakap lelaki itu polis dan motor itu nak dibawa ke balai. Video itu, security itu yang ambil.

"Kalau ikutkan pengawal keselamatan sini tegas tapi mungkin dia biar saja sebab orang itu cakap dia polis. Maklumlah dia bukan warganegara.

"Lepas saya tahu, saya terus keluar. Mungkin budak-budak Sungai Buloh yang buat hal ini. Mereka tidak juga buat hal sangat, tapi adalah kes-kes sebegitu.

"Saya pun terus buat laporan di balai polis Sungai Pelong. Bila video ini viral, ada seorang kawan ini telefon cakap dia kenal budak lori itu. Dengarnya budak dari Puncak Alam," katanya pada Majoriti.

Farid berkata, dia difahamkan bahawa pemandu lori itu adalah pekerja pasar raya Jaya Grocer dan jika dilihat dalam video berkenaan, lori yang digunakan merupakan kenderaan yang membawa barangan sayuran untuk pasar raya itu.

Tambahnya, pemandu tersebut pada awalnya mahu menyelesaikan perkara itu tanpa melibatkan pihak berkuasa tetapi dia terpaksa membawanya ke Balai Polis Damansara atas nasihat polis.

"Pemandu itu mendakwa dia menjadi 'kambing hitam' kerana yang buat job ini ada tiga orang iaitu pemandu, yang kedua orang yang bagi nombor telefon kepada lelaki berambut tocang. Rambut tocang itu adalah master mind (perancang) dalam kejadian ini.

"Kalau nak tangkap master mind, kena dapatkan nombor telefon orang tengah yang hubungkan antara pemandu lori dan jejak rambut tocang itu.

"Pemandu lori itu menyatakan bahawa dia hanya menuruti maklumat yang diterimanya untuk mengambil motor ayah lelaki berambut tocang itu. Dia tidak tahu lelaki bersamanya itu adalah pencuri kerana maklumat yang diterimanya hanya menyatakan lelaki berkenaan nak ambil motor ayah dia," katanya.

Farid berkata, pemandu lori itu merayu untuk tidak melaporkannya kerana dia hanya membuat kerja tambahan dengan menggunakan lori Jaya Grocer dan dia langsung tidak tahu siapa lelaki berambut tocang itu.

"Tapi kesahihan cerita ni tak tahu, kawan kepada driver yang cerita. orang tengah mereka hilang. Yang saya tahu lokasi terakhir motor saya dikesan di Petronas USJ (Subang).

"Saya juga difahamkan lelaki bertocang itu bukan anggota polis. Sekarang saya hanya berharap CCTV di Petronas itu sahaja (dapat mengesan suspek). Tapi polis memang lajulah buat kerja," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram