Kanak-kanak dua tahun maut didera ibu kandung


  • 112
  • Khamis, 17 Mac 2022

PEMERIKSAAN awal pada badan mangsa mendapati terdapat kesan luka di sekitar hidung, dagu, telinga dan belakang kepala.— The Star

SEORANG kanak-kanak perempuan berusia dua tahun maut, selepas dipercayai didera ibunya pada Rabu lalu.

Kejadian itu terbongkar selepas ibu berusia 33 tahun itu menghantarnya ke hospital swasta di Teluk Intan, Perak serta mendakwa kanak-kanak itu mengalami sesak nafas.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, doktor yang merawat mangsa ketika itu mengesahkan kanak-kanak tersebut telah meninggal dunia.

Menurutnya, pemeriksaan awal pada badan mangsa mendapati terdapat kesan luka di sekitar hidung, dagu, telinga dan belakang kepala.

"Terdapat juga kesan luka besar di lengan kanan, kelingking dan jari telunjuk tangan kiri.

"Pemeriksaan juga mendapati kesan gigitan berhampiran bahu lengan kiri, parut di kaki kiri, lebam di bawah lutut kiri, lebam di bahu kanan dan beberapa kesan lebam di seluruh belakang badan mangsa," katanya.

Tambahnya, polis menahan ibu kandung mangsa apabila dia menyerah diri di Balai Polis Teluk Intan pada hari sama kira-kira jam 5 petang.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati wanita itu didakwa mendera mangsa yang merupakan anak ketiga daripada empat beradik kerana tertekan akibat mangsa sering menangis. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

ibu, dera, anak, maut, lebam, Teluk Intan, tekanan