Isteri Timbalan Menteri MAFI meninggal dunia akibat kanser


  • Primer
  • Selasa, 15 Mac 2022

ALLAHYARHAMAH Wan Sofiza Eliana (kanan) meninggalkan seorang anak lelaki serta dua anak perempuan. — Facebook

ISTERI kepada Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) II, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh, Wan Sofiza Eliana Wan Yusof meninggal dunia pada pukul 1.05 tengah hari Selasa akibat kanser.

Nik Muhammad Zawawi menerusi satu hantaran di Facebook berkata, arwah isterinya, Wan Sofiza Eliana Wan Yusof, 40-an, menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Taman Kosas, Ampang, Selangor.

"Jenazah Allahyarham akan dibawa pulang ke Pulau Gajah, Pengkalan Chepa (Kelantan) petang ini untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Melawi, Bachok, pada 10 pagi Rabu,” katanya.

Sementara itu, dalam satu hantaran berlainan, Nik Muhammad Zawawi yang juga Ahli Parlimen Pasir Puteh turut mengajak orang ramai mengikuti solat jenazah arwah isterinya di Masjid Pantai Melawi Bachok, Kelantan.

Terdahulu pada Isnin, dalam satu hantaran berasingan di laman sosial tersebut, Nik Muhammad Zawawi memohon agar orang ramai mendoakan isterinya yang sedang tenat melawan penyakit kanser.

Allahyarhamah dikatakan menghidap penyakit kanser sejak tujuh bulan lalu dan meninggalkan seorang anak lelaki serta dua anak perempuan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram