Nik Muhammad Zawawi ganti Khairuddin sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS


  • Politik
  • Selasa, 22 Feb 2022

NIK Muhammad Zawawi pernah menyandang jawatan Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS pada 2019. — The Star

KETUA Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh pada Selasa mengesahkan beliau dilantik sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS yang baharu berkuat kuasa 20 Februari lepas.

Nik Muhammad Zawawi yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II berkata, pelantikannya berkuat kuasa selepas Mesyuarat Majlis Syura Ulama pada malam 20 Februari itu susulan peletakan jawatan Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali pada hari sama.

"Ya, betul (dilantik sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS baharu). Saya seorang daripada anggota sebelum ini maka sebulat suara (setuju dengan pelantikan) apabila Mohd Khairuddin letak jawatan.

"Mohd Khairuddin meletakkan jawatan dengan terhormat dan majlis berbincang untuk letak saya balik (sebagai setiausaha).

"Saya sebelum ini dah pegang jawatan Setiausaha Majlis Syura Ulama ini lebih 10 tahun. Saya pegang lama dan dilantik semula,” katanya selepas meninjau Program Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) Sekinchan, Selangor pada Selasa.

Nik Muhammad Zawawi berkata demikian ketika diminta mengesahkan sama ada benar beliau dilantik sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS yang baharu.

Pada Isnin, media melaporkan Mohd Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus mengumumkan peletakan jawatannya sebagai setiausaha dan ahli Majlis Syura Ulama PAS berdasarkan peruntukkan Perlembagaan PAS Fasal 8(7). — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram