500 petani Bachok, Pasir Puteh terjejas banjir akan dibantu — Mafi


  • Primer
  • Isnin, 21 Feb 2022

TANAMAN tembikai petani di sekitar jajahan Bachok dan Pasir Puteh musnah ditenggelami air akibat hujan lebat minggu lepas. — Sinar Harian

KEMENTERIAN Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) akan membantu kira-kira 500 petani di sekitar jajahan Bachok dan Pasir Puteh yang mengalami kerugian selepas tanaman tembikai mereka musnah ditenggelami air akibat hujan lebat minggu lepas.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, Jabatan Pertanian dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) negeri telah diarah mengenal pasti petani terjejas dengan segera bagi meringankan beban mereka.

"Walaupun mempunyai sistem perparitan yang baik, hujan lebat itu telah menyebabkan air berlebihan tidak dapat dialirkan ke kawasan laut berdekatan.

"Hal ini menyebabkan rata-rata petani terpaksa menanggung kerugian modal dan hasil hampir RM2 juta," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan Mafi Prihatin di Pasir Puteh pada Isnin.

Nik Muhammad Zawawi yang juga Ahli Parlimen Pasir Puteh berkata, bantuan yang diberikan itu turut mengambil kira hutang petani dengan agensi berkaitan seperti upah tenggala, baja dan sebagainya yang memerlukan modal besar.

"Namun begitu, kerosakan tanaman tembikai ini tidak akan menjejaskan keperluan bekalan pada bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri kerana masih terdapat kawasan lain yang sedang diusahakan dapat dituai pada bulan berkenaan," katanya.

Sementara itu, seorang petani, Shafiah Mansor, 62, berkata, sekiranya tanaman tembikainya itu tidak mengalami kerosakan, beliau akan memperoleh hasilnya dalam tempoh dua minggu lagi yang dianggar bernilai RM30,000 hingga RM40,000.

"Saya telah menggunakan modal pusingan sebanyak RM15,000 bagi mengusahakan tanaman tembikai seluas dua hektar. Bantuan daripada kerajaan diharap dapat meringankan beban saya untuk menyara keluarga," katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram