Mayat wanita rentung di Bandar Tun Razak, pengawal keselamatan sekolah direman


  • 112
  • Isnin, 14 Mac 2022

PERINTAH tahanan reman terhadap lelaki berusia 30-an itu dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Ahad. — Bernama

SEORANG pengawal keselamatan direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat wanita rentung di sebuah sekolah menengah di Bandar Tun Razak, Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner, Muhammad Izham Jaafar berkata, perintah tahanan reman terhadap lelaki berusia 30-an itu dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Ahad.

"Hasil siasatan awal polis mendapati suspek bekerja di sekolah berkenaan sejak dua tahun lepas manakala si mati yang berumur 25 tahun, bertugas sejak Februari lepas," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Pada Isnin, Bernama melaporkan polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat seorang wanita yang rentung dalam kebakaran di bengkel kemahiran hidup sebuah sekolah menengah di Bandar Tun Razak, di Kuala Lumpur pada Sabtu.

Muhammad Izham berkata, lelaki terbabit ditahan pada pukul 6 petang di lokasi kebakaran dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

polis, bunuh, rentung, kebakaran, motif, reman, sekolah