Usaha cari mangsa tertimbus di Ipoh dihenti sementara


  • 112
  • Isnin, 14 Mac 2022

PASUKAN penyelamat menghentikan seketika usaha mencari mangsa timbusan. — Bernama

KERJA-KERJA mengalihkan bongkah batu besar bagi mengenal pasti kedudukan dua mangsa yang dipercayai tertimbus di bawah runtuhan kuari di Keramat Pulai, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands di Ipoh, dihentikan buat sementara waktu.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata kerja-kerja tersebut dihentikan pada pukul 10.35 pagi tadi berikutan terdapat runtuhan kecil batu berlaku di sekitar kawasan berkenaan.

"Pasukan penyelamat masih dalam skop kerja pemerhatian dan keselamatan bagi kerja-kerja pengalihan bongkah batu yang dijalankan oleh syarikat kuari terbabit.

"Jarak untuk ke lokasi sebenar mangsa tertimbus lebih kurang 20 meter untuk sampai ke laluan sebenar,” katanya dalam satu kenyataan.

Kejadian pada 9.15 pagi Selasa lepas itu, menyebabkan dua lelaki dipercayai tertimbus iaitu Kheow Loo Siew Soon, 49, dan Itam Lasoh, 43, manakala Mohd Razli Suhaimi, 35, mengalami patah tulang kaki dan Pan Tam, 38, cedera ringan.

Beliau berkata operasi menyelamat, yang memasuki hari ketujuh, bermula 8.30 pagi Isnin membabitkan anggota pasukan keselamatan terdiri daripada bomba, polis, Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM), Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), dibantu pegawai Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta pekerja kuari. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

bomba, kuari, runtuh, Simpang Pulai, kerja, bongkah