Kerajaan salur RM1 juta bersihkan kawasan tanah runtuh Taman Bukit Permai


  • Primer
  • Jumaat, 11 Mac 2022

PENGAMAL media ketika menemubual Reezal Merican (tiga, kanan) dan Noh Omar di lokasi tanah runtuh pada Jumaat. — FAIHAN GHANI/The Star

SEBANYAK RM1 juta akan diperuntukkan bagi kerja-kerja pembersihan di tapak tanah runtuh Taman Bukit Permai di Ampang, Kuala Lumpur, kata Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata, dana itu akan diagihkan oleh kementerian itu melalui Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

"Ini akan dilakukan selepas analisis risiko lengkap disiapkan oleh jabatan berkaitan dan bidang kuasa kita adalah untuk kawasan yang tidak melibatkan bukit dan gunung kerana itu di bawah JKR.

"Tetapi buat masa ini, komitmen kami adalah untuk menyediakan peruntukan RM1 juta untuk kerja-kerja pembersihan,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian pada Jumaat.

Tambahnya, lebih banyak peruntukan akan ditambah sekiranya perlu.

Beliau turut menggesa kerajaan negeri menyelesaikan analisis risiko secepat mungkin supaya penduduk dimaklumkan.

Pengerusi Majlis Keselamatan Negara Negeri, Tan Sri Noh Omar turut menggesa agar kajian dijalankan di kawasan bukit dan kawasan bertingkat di sekitar kawasan Ampang bagi mengelak kejadian sama berulang pada masa akan datang.

"Terutama di kawasan perumahan. Kami tidak mahu Highland Towers lagi,” katanya.

Kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang pada 5.54 petang Khamis meragut empat nyawa dan seorang cedera. Ia turut menyebabkan 15 kediaman dan 10 kenderaan terjejas.

Lebih 200 penduduk daripada 48 rumah diarah mengosongkan rumah masing-masing, berikutan retakan ditemui di lokasi tanah runtuh akibat pergerakan tanah. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram