Mangsa kedua tanah runtuh Taman Bukit Permai 2 meninggal dunia, tiga lagi masih dicari


  • 112
  • Khamis, 10 Mac 2022

KEADAAN tanah runtuh yang berlaku di Taman Bukit Permai dalam kejadian pada petang Khamis. — Ihsan bomba

MANGSA kedua kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang, Kuala Lumpur disahkan meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Esha berkata, mangsa adalah seorang wanita warga emas yang meninggal dunia kira-kira pukul 9.15 malam, Khamis.

"Ada tiga lagi mangsa dalam proses mencari dan menyelamat," katanya.

Beliau berkata, semua penduduk di kawasan terbabit ditempatkan di pusat penempatan sementara (PPS) di dewan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Taman Mega Jaya.

Dalam kejadian itu, tiga mangsa dikhuatiri masih tertimbus manakala dua lagi telah dijumpai dengan mangsa pertama berjaya dikeluarkan pada 6.54 petang dan hanya mengalami cedera ringan.

Mangsa kedua seorang wanita telah ditemui pada 7.53 malam dan kerja-kerja mengeluarkan mangsa sedang dijalankan.

Sebuah jentera dengan sembilan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Pandan bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.54 petang.

Usaha mencari tiga lagi mangsa termasuk seorang pekerja penyelenggaraan syarikat utiliti kini giat dijalankan pasukan penyelamat. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram