Pihak berkuasa terus pantau lokasi tanah runtuh Taman Bukit Permai 2


  • Primer
  • Jumaat, 11 Mac 2022

ANGGOTA polis memantau keselamatan kawasan perumahan yang berlaku insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang pada Khamis.  — Bernama

PIHAK berkuasa dan anggota penyelamat meneruskan pemantauan di lokasi insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang dekat Kuala Lumpur, meskipun operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah ditamatkan awal pagi Jumaat.

Tinjauan Bernama di lokasi mendapati situasi di kawasan terbabit masih dikawal pihak berkuasa selain keadaan cuaca semasa adalah cerah.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari turut meninjau lokasi insiden pada pagi Jumaat.

Tinjauan di Jabatan Forensik Hospital Ampang pula mendapati setakat ini, hanya seorang waris mangsa yang terkorban dalam insiden itu telah hadir ke jabatan berkenaan.

Insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang pada petang Khamis telah meragut empat nyawa manakala seorang cedera ringan selain menyaksikan 15 rumah serta 10 kenderaan terjejas.

Operasi SAR kelima-lima mangsa yang dilaporkan tertimbus itu yang bermula petang Khamis tamat pada kira-kira 2 pagi tadi selepas kesemuanya berjaya ditemukan.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum ini meramalkan Kuala Lumpur mengalami hujan berterusan di beberapa kawasan hingga 14 Mac.

Kejadian tanah runtuh itu turut mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memaklumkan berita sedih tersebut menerusi hantaran ringkas di laman Facebooknya dan meminta orang ramai mendoakan agar semua mangsa dapat diselamatkan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram