DUA mangsa dikhuatiri masih tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang di Kuala Lumpur yang melibatkan 15 rumah dan 10 kereta.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, sebuah jentera dengan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pandan dikerah ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.54 petang.
"Menurut maklumat awal (daripada) pemanggil, seramai empat individu dikhuatiri tertimbus dan pasukan penyelamat berjaya mengeluarkan dua mangsa setakat ini.
"Seorang mangsa dijumpai hidup dan berjaya dikeluarkan pada jam 6.54 petang. Mangsa mengalami kecederaan ringan.
"Mangsa kedua, seorang wanita pula berjaya diselamatkan pada jam 7.53 petang. Dua lagi dipercayai tertimbus dan status mereka tidak dapat dipastikan,” katanya.
Katanya, pergerakan tanah masih dikesan berlaku setakat ini dan operasi mencari serta menyelamat giat dijalankan. — Majoriti
Menyusul...
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram