Belia Johor di Lembah Klang tidak sabar turun mengundi


  • Massa
  • Jumaat, 11 Mac 2022

MENARA jam antara mercu tanda di Dataran Bandaraya Johor Bahru, Johor. — The Star

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Johor semakin terasa bahangnya apabila ia bakal diadakan pada Sabtu ini untuk sekali lagi rakyat menjadi penentu kestabilan politik di negeri itu.

Seramai 2,539,606 orang pengundi biasa daripada 2,597,742 orang pengundi berdaftar, layak mengundi, manakala 21,407 orang merupakan pengundi awal dan 36,729 pula mengundi secara pos.

PRN Johor kali ini agak berbeza berbanding pilihan raya sebelumnya, apabila seramai 173,177 anak muda berusia 18 hingga 20 tahun, dijangka turun ke 'medan' untuk merasai sendiri pengalaman keluar dan melalui proses mengundi bagi memilih wakil rakyat pilihan mereka.

Malah, sambutannya juga dijangka agak meriah, apabila tiket bas ke selatan tanah air itu habis dijual terutamanya selepas tamat waktu bekerja.

Perkara itu dikongsikan oleh seorang pekerja di sebuah universiti swasta di Subang Jaya, Selangor yang sudah pun memeriksa tiket bas secara atas talian.

Justeru, Hafizah Husin, 30, berkata, dia belum pasti sama ada dia boleh pulang ke kampung halamannya dekat Pagoh, Muar, Johor untuk mengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jorak.

Jelasnya, dia cenderung untuk memilih kerajaan yang mampu membela nasib rakyat tanpa mengira pangkat atau latar belakang dan mampu melakukan perubahan besar, khususnya di Muar.

"Harapan saya semoga kerajaan baharu nanti akan melakukan perubahan yang lebih baik untuk rakyat di Muar dan bebas daripada rasuah," katanya kepada Majoriti.

Ketika ditanya parti mana yang mampu menambat hatinya ketika ini, Hafizah secara terbuka berkata, dia cenderung untuk memilih Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).

Katanya, pilihan itu dilakukan setelah membuat penilaian menerusi media sosial, berikutan dia tiada di Muar ketika parti itu berkempen.

"Pada pendapat saya, tidak ada salahnya untuk beri peluang pada barisan anak muda ini untuk buat perubahan lebih baik untuk rakyat di Johor. Parti Muda lebih dekat dengan diri saya," katanya.

Sementara itu, pengundi yang berasal dari Pasir Gudang, Johor berkata, beliau mengimpikan sebuah kerajaan yang stabil dan faham kehendak rakyat terutamanya ketika polemik Covid-19 ketika ini.

Izham Mohd Nasir, 32, yang bekerja di sebuah kilang di Banting, Selangor itu berkata, dia juga mahu kerajaan mendengar keluhan dan pandangan rakyat tanpa memiliki sifat diktator.

"Harapan saya supaya kerajaan baharu ini lebih memahami kehendak rakyat.

"Mereka juga perlu lebih memahami tentang kepentingan keselamatan negara amnya dari aset-aset tentera yang sudah usang dan tidak mencukupi," katanya.

Prihatin isu kebajikan

Pada masa sama, seorang pekerja swasta yang bekerja di Shah Alam, Selangor berkata, dia mahukan sebuah kerajaan baharu yang prihatin mengenai isu kemanusiaan terutamanya ke atas golongan miskin, bergaji rendah serta mereka yang memerlukan bantuan perubatan.

Shahrul, 32, yang juga bukan nama sebenar berkata, dia juga berharap agar kerajaan baharu mencari jalan untuk mengukuhkn sistem ekonomi rakyat.

"Kalau bagi bantuan pun janganlah banyak cekadak (birokrasi), nak isi macam-macam borang. Nak keluar wang KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) pun susah sedangkan itu duit rakyat.

"Harga barangan di Johor semakin naik, kalau gaji RM4,000 masih lagi dikategori golongan miskin sebab banyak komitmen, apatah lagi mereka yang gaji RM1,200 tu. Tolonglah jaga rakyat," katanya yang juga pejuang Leukimia.

Shahrul berkata, dia tidak dapat pulang ke kampungnya di Kluang, Johor untuk mengundi.

Pada mulanya, dia bersemangat untuk pulang mengundi, namun sikap segelintir wakil rakyat yang tidak mengendahkan kebajikan rakyat marhaen baru-baru ini, menyebabkannya tawar hati untuk berbuat demikian.

"Saya dah tanya boleh claim duit minyak ke tidak (untuk pulang ke kampung), mereka kata boleh claim cuma tak beritahu per kilometer pula. Saya risau wangnya tidak cukup.

"Sekarang ni dah pertengahan bulan, semangat la juga nak mengundi tapi mereka macam tak ambil tahu.

"Jadi, buat apa nak mengundi, semua tak mahu 'support' walaupun sedikit," katanya kesal. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram