Lebih 2 juta turun mengundi, SPR minta pengundi ikut masa yang ditetapkan


  • Politik
  • Khamis, 10 Mac 2022

SPR meminta setiap pengundi mengikut masa yang telah ditetapkan untuk turun mengundi. — Bernama

SEBANYAK 2,539,606 pengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Sabtu ini dinasihatkan keluar mengundi mengikut masa yang dicadangkan seperti yang tertera dalam aplikasi MySPR Semak.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, maklumat masa keluar mengundi yang digalakkan untuk setiap pengundi, dipaparkan menerusi aplikasi itu.

Beliau berkata, bagi pengundi yang tidak dapat hadir pada masa keluar mengundi yang digalakkan atas sebab-sebab tertentu, mereka masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa bermula dari pukul 8 pagi hingga 6 petang, atau waktu yang telah diwartakan di pusat mengundi masing-masing.

"Namun demikian, pengundi adalah dinasihatkan untuk tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir dan sentiasa mematuhi semua undang-undang, peraturan dan garis panduan khas pencegahan COVID-19 pada hari mengundi nanti,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau turut mengingatkan pengundi supaya membawa kad pengenalan dan catatan maklumat pengundian, serta menunjukkannya kepada Kerani Pengundian Pertama (KP1) di saluran, bagi memudahkan semakan nama pengundi serta membantu kelancaran proses pengundian pada hari mengundi.

"Selain itu, pengundi juga dinasihatkan untuk menyimpan kad pengenalan mereka dengan selamat dan tidak menyerahkannya kepada pihak lain, kecuali petugas pilihan raya di pusat mengundi masing-masing,” katanya.

Ikmalrudin pada masa sama menyeru kepada semua pengundi supaya keluar menunaikan tanggungjawab mereka dan menyarankan agar semakan maklumat pengundian dibuat lebih awal sebelum hari mengundi, sama ada menerusi portal pengundi.spr.gov.my, aplikasi MySPR Semak atau Hotline SPR di talian 03-88927018.

Seramai 2,539,606 orang pengundi biasa daripada 2,597,742 orang pengundi berdaftar, layak mengundi pada Sabtu ini, manakala 21,407 orang merupakan pengundi awal dan 36,729 pula mengundi secara pos. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

prn johor, masa, pengundi, SPR, ikmalrudin ishak