PERIKATAN Nasional (PN) hanya akan mengumumkan nama Menteri Besar Johor selepas berjaya membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15, kata Pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, pengundi tidak perlu berasa ragu dan bimbang kerana PN membariskan ramai calon yang berkelayakan dan berpengalaman untuk mentadbir negeri.
"Bila sudah diputuskan kita memperoleh sejumlah kerusi yang mampu membentuk kerajaan, maka selepas itu baru kita namakan (Menteri Besar) dan nama akan dikemukakan untuk mendapat perkenan Sultan,” katanya selepas merasmikan TV White Space di Stadium Lenga di Pagoh, Johor pada Rabu.
PN membariskan 56 calon untuk bertanding di semua kerusi PRN Johor.
Muhyiddin dalam pada itu menyasarkan antara 70 dan 75 peratus pemilih akan keluar mengundi termasuk dalam kalangan pengundi 18 tahun ke atas dan yang pertama kali mengundi.
"Diharap pengundi yang berada di luar Johor akan mengambil peluang untuk pulang mengundi di kawasan masing-masing,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram