PILIHAN Raya Negeri (PRN) Johor yang akan berlangsung pada Sabtu ini akan menentukan kerajaan manakah yang akan menerajui negeri di selatan tanah air itu.
Persaingan paling sengit dalam sejarah negeri berkenaan apabila seramai 239 calon disahkan akan bertanding untuk 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun).
Pastinya, sebilangan besar rakyat Johor juga akan teruja untuk turun mengundi pada 12 Mac ini terutamanya bagi pemastautin yang berada di luar negeri itu ekoran pada PRN kali ini adalah peluang mereka untuk menukar pucuk pimpinan negeri kesayangan.
Tinjauan Majoriti di sekitar Lembah Klang mendapati rakyat Johor yang bermastautin di negeri Kuala Lumpur dan Selangor terutamanya golongan belia rata-ratanya mengharapkan pemimpin yang bebas dari rasuah dan tidak bermulut manis yang akan dipilih nanti.
Seorang pengundi di Dun Johor Jaya, Amelia Fadzil, 25, berkata, PRN Johor kali ini merupakan pengalaman pertamanya untuk turun mengundi dan pastinya untuk kali ini, dia akan pulang ke kampung halaman keranan semasa Pilihan Raya Umum 14, umurnya belum melepasi syarat mengundi.
"Sewaktu PRU 14 (2018), saya masih 21 tahun jadi tak boleh mengundi lagi jadi untuk pertama kali mengundi ini, saya ragu-ragu untuk pilih yang mana.
"Saya masih ragu-ragu terhadap kredibiliti calon-calon ini untuk membentuk kerajaan yang mengutamakan rakyat dan bersih dari korupsi.
"Tempat saya paling sengit adalah BN dan PH kerana wakil dari Perikatan Nasional dan Warisan masih baru," kata wanita yang bekerja di syarikat swasta itu.
Wanita yang bermastautin di Kelana Jaya itu berkata, kerajaan yang peka terhadap kebajikan dan keperluan rakyat dari segenap bidang, serta tidak meletakkan kepentingan politik semata-mata untuk berkuasa adalah kerajaan yang dia idamankan untuk memimpin Johor.
"Harapan saya, kerajaan yang berdiri mampu untuk bekerjasama baik pembangkang atau kerajaan untuk membawa suara rakyat ke peringkat tertinggi, bukan apabila sudah mendapat pangkat lalu menyepi," katanya kepada Majoriti.
Bagi pengundi muda lain, Noor Faizul, 21, perasaan tanggungjawab sebagai rakyat menyebulungi dirinya adalah sebab utama dia sanggup pulang ke Johor untuk mengundi dan seperti Amelia, ini merupakan kali pertama dia merasa pengalaman mengundi.
"Perasaan itu biasa sajalah sebab benda ini kan tanggungjawablah. Jadi buat sajalah," katanya kepada Majoriti.
Faizul yang akan mengundi di Dun Sri Medan itu akan bergerak dari Selangor untuk turun mengundi pada hari Jumaat malam.
"Saya mengharapkan kerajaan yang mampu menjaga menjaga kemakmuran negeri dan selalu mengambil tahu tentang masalah yang dihadapi oleh rakyat.
"Saya mengharapkan pemimpin yang mempunyai jiwa rakyat untuk PRN kali ini," katanya
Dalam pada itu, bagi wanita yang ingin dikenali sebagai Sarah, 25, memberitahu PRN Johor kali ini dia tidak dapat pulang ke Panti, Kota Tinggi disebabkan kekangan masa dan tuntutan kerja.
"Buat masa sekarang ni saya tidak nampak lagi hala tuju politik, Semua sama saja bagi saya, hanya bermulut manis. Mungkin sebab itu saya tidak ingin pulang mengundi.
"Tapi saya tidak dapat nafikan, harapan saya untuk PRN Johor kali ini, calon yang tepat akan menang agar dapat membangun atau mentadbir negeri Johor dengan baik," kata wanita yang bermastautin di Putrajaya itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram