
PELAJAR, Ain Husniza dan bapanya, Saiful Nizam Abdul Wahab memfailkan tuntutan balas terhadap saman fitnah bekas gurunya berhubung insiden gurauan rogol.
"Saya boleh mengesahkan kami memfailkan pembelaan dan tuntutan balas pada 4 Mac," kata peguamnya, Datuk Sankara Nair dari SN Nair & Partners kepada pemberita pada Jumaat.
Kenyataan pembelaan seperti yang dilihat The Star mendedahkan bahawa, Ain Husniza atau nama sebenar Nurain Husniza, 17, mengalami tekanan emosi dan kejutan teruk akibat insiden gurauan rogol.
"Akibat jenaka seksual yang sangat menindas dan merosakkan psikologi, plaintif pertama telah mengalami tekanan emosi dan/atau kejutan teruk.
"Bukan sahaja hak undang-undang plaintif pertama untuk keselamatan peribadinya telah dilanggar, dia juga mengalami ketakutan yang melampau, kesedihan, kehinaan, kebimbangan dan ancaman berterusan serta serangan peribadi," kata kenyataan itu.
Tuntutan balas itu menamakan bekas gurunya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puncak Alam, Khairul Nizam Sanuddin; pengetua sekolah, Sarimah Mohammed Nor; Pengarah Pendidikan Selangor, Anismah M Noh; Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin dan kerajaan Malaysia sebagai defendan.
Ain Husniza dan Saiful Nizam selaku plaintif pertama dan kedua mendakwa, guru itu bukan sahaja membuat jenaka lucah dengan niat jahat, malah membuat gangguan lisan yang tidak munasabah dan membuat penindasan sepanjang pengajaran.
Tambah mereka, tindakan guru itu 'dikira menimbulkan' kebimbangan, ketakutan dan tekanan dalam diri Ain Husniza.
"Perbuatan defendan pertama secara khusus menjadikan plaintif mangsa gangguan seksual yang perlu dilindungi dan ini mesti dicegah segera," kata mereka.
Tambah mereka, tindakan itu antara lain melanggar Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Mereka juga menuntut ganti rugi dan pengajaran termasuk bil perubatan Ain Husniza berjumlah RM955 antara pampasan lain, faedah tahunan sebanyak 5 peratus ke atas ganti rugi yang akan diputuskan sehingga penyelesaian.
Kedua-dua saman guru dan keluarga itu akan didengar di Mahkamah Sesyen Klang pada 21 Mac.
Pada 30 November lalu, Khairul Nizam dilapor memfailkan saman fitnah dengan menamakan Ain Husniza dan bapanya sebagai responden pertama dan kedua.
Pada Ogos, Ain Husniza membuat perkongsian bahawa dia menerima surat tuntutan daripada seorang guru Pendidikan Jasmani di sekolah tempat dia belajar sebelum ini, yang menuntut ganti rugi RM1 juta atas dakwaan kenyataan berunsur fitnah yang dibuatnya.
Pada April tahun lalu, Ain Husniza menjadi tajuk utama apabila dia membuat video di laman TikTok dengan mendedahkan guru berkenaan berhubung dakwaan insiden jenaka rogol. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram