Perkasa PSC, 'taring' panggil penjawat awam beri keterangan — Azalina


  • Primer
  • Isnin, 07 Mac 2022

AZALINA bercakap pada sesi perbahasan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima, Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat pada Isnin. — Bernama

AHLI Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said mencadangkan pemerkasaan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) supaya jawatankuasa tersebut mempunyai berani memanggil pegawai kerajaan ke mesyuarat jawatankuasa Parlimen untuk memberikan keterangan berhubung sesuatu isu.

Jelasnya, pada masa ini tiada peraturan dalam Peraturan Tetap Parlimen untuk memanggil pegawai kerajaan bagi tujuan berkenaan.

"Tidak ada wujudnya satu templat dalam bahasa Malaysia yang boleh digunakan oleh semua jawatankuasa pilihan, contohnya kalau di mahkamah ada notis mengerahkan hadir (serve of order notice).

"Jika tidak hadir mahkamah dikenakan contempt atau hina mahkamah, tetapi di dalam Parlimen sebagai badan ketiga terbesar dalam Perlembagaan iaitu institusi kehakiman, eksekutif dan legislatif, tidak ada taring dan gigi. Ahli Parlimen marah kepada Speaker tetapi Speaker memberikan penerangan terdapat ‘lacuna’ dari segi undang-undang,” katanya pada sesi perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat pada Isnin.

Tambahnya, agenda tersebut perlu dimasukkan dalam Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang termeterai antara kerajaan dan pembangkang sebelum pembubaran Parlimen Ke-14, merujuk kepada Fasal 2 tempoh masa dokumen itu berkuatkuasa.

Ujar Azalina, menerusi MoU itu, pihak kerajaan dan pembangkang juga boleh mencapai persetujuan mewujudkan panduan tidak formal seperti negara lain termasuk Australia, Kanada dan New Zealand sekiranya pindaan perlembagaan atau undang-undang sedia ada tidak dapat dibuat.

Memberikan contoh, Azalina berkata, antara dokumen diguna pakai termasuk 'Government guidelines for official witnesses before Parliamentary Committees' (Australia), 'Notes on the Responsibilities of Public Servants in Relation to Parliamentary Committees' (Kanada) serta 'Officials and Select Committees - Guidelines' (New Zealand).

Beliau turut mencadangkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dipecahkan kepada dua segmen iaitu Kementerian Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak manakala kebajikan dan isu keluarga dipindahkan kepada Kementerian Perpaduan.

"Perangkaan melaporkan 15.9 juta wanita dan 9 juta kanak-kanak, dengan jumlah yang begitu besar di negara kita, kemungkinan pengkhususan kepada Kementerian Wanita dan Kanak-kanak ini boleh memberikan nilai lebih tinggi.

"Kebajikan dan isu keluarga boleh ditolak dan diberikan kepada Kementerian Perpaduan.

"Sebagai contoh, Menteri Perpaduan kita begitu berpengalaman sebagai Exco Negeri dan Menteri Kabinet mempunyai pengalaman untuk mengendalikan isu-isu, perpaduan adalah isu keluarga, keluarga adalah juga isu kebajikan, kebajikan adalah isu perpaduan,” menurutnya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram