SEBANYAK 1,021 kertas undi pos bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor melibatkan pengundi dari Johor yang menetap dan bekerja di Singapura, tiba di Johor Bahru pada Khamis.
Kertas undi yang diisikan di dalam satu bagasi itu dibawa oleh sukarelawan 1thirdmedia, Mohd Hafeez A Jaz, 36, menaiki pengangkutan awam bas menerusi Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) Darat antara Malaysia-Singapura.
Mohd Hafeez yang membawa bagasi mengandungi kertas undi tersebut, tiba di Terminal Bas Larkin Sentral di Johor Bahru kira-kira 1.50 tengah hari, selepas memulakan perjalanan dari Woodlands, Singapura pada 12.40 tengah hari.
Sejurus tiba, anak kelahiran Sarawak yang turut menetap serta bekerja di Singapura itu melalui beberapa prosedur operasi standard (SOP) di pintu sempadan, termasuk proses menjalani ujian saringan Covid-19.
Selepas segala proses SOP tanpa sebarang permasalahan selesai, Mohd Hafeez menyerahkan bagasi yang mengandungi kertas undi tersebut kepada sukarelawan Undi18, Mandeep Singh pada pukul 2.15 petang di dalam terminal bas itu.
Ketika ditemui pemberita, Mohd Hafeez berkata, tanggungjawab yang diberikan 1thirdmedia untuk membawa kertas undi pos itu tidak dirasakan beban bagi dirinya.
"Saya menganggap ini adalah kerja amal untuk membantu serta memudahkan rakyat Malaysia yang berada di Singapura, menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi pos berdaftar,” katanya yang telah tinggal di Bayu Puteri, Permas Jaya, Johor Bahru sejak kira-kira tujuh tahun lepas.
Sementara itu, Mandeep berkata, tugas pasukannya adalah untuk menyerahkan kertas undi pos tersebut kepada setiap Pegawai Pengurus Pilihan Raya PRN Johor pada Jumaat, selepas pihaknya selesai menjalankan proses pengiraan serta pengagihan kertas undi pos itu mengikut Dewan Undangan Negeri (DUN).
Selasa lepas, Bernama melaporkan sukarelawan dalam kalangan rakyat Malaysia di bawah naungan 1thirdmedia, berganding bahu mengumpul kertas undi pos tersebut di sekitar Singapura untuk dihantar ke Johor
Menurut sukarelawan Farrah Diyana Mohamad Ali, kira-kira 5,000 kertas undi pos dikumpul, dengan dua penghantaran telah dilaksanakan pada 6 dan 8 Mac lepas dan penghantaran terakhir dibuat pada Khamis.
Untuk tiga hari pertama sejak 1 Mac, SPR dilaporkan telah mengeluarkan sebanyak 36,729 kertas undi pos, kepada yang layak untuk mengundi secara pos pada PRN Johor.
Daripada jumlah itu, sebanyak 7,814 undi pos dikeluarkan bagi kategori Borang 1B iaitu warga Malaysia yang berada di luar negara.
Semua kertas undi pos perlu dikembalikan kepada Pegawai Pengurus Dewan Undangan Negeri berkaitan, sebelum 5 petang pada hari pengundian yang akan berlangsung Sabtu ini. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram