
SUSULAN dakwaan pengacara, Azwan Ali yang memberitahu Awesome TV masih tidak melunaskan bayaran terhadapnya, stesen televisyen itu menegaskan bahawa pihaknya telah melunaskan bayaran sebelum pengacara itu digugurkan daripada program MIC ON!.
Ketua Pegawai Eksekutif Awesome TV, Datuk Adam Ilyas berkata, merujuk kepada isu Azwan yang menuntut baki bayaran untuk program MIC ON!, pihaknya memandang serius akan pertuduhan tersebut.
"Pembayaran penuh untuk 10 minggu telah dibuat pada hari yang sama beliau digugurkan iaitu pada 8 Mac lalu walaupun dia cuma melunaskan komitmen sebagai hos untuk tempoh 6 minggu sahaja.
"Surat pemberitahuan rasmi mengenai penamatan khidmat beliau juga telah dikeluarkan pada hari yang sama.
"Kami beranggapan isu bayaran untuk program MIC ON! sudah selesai dan tidak mahu memanjangkan lagi hal ini. Fokus utama kami sekarang adalah untuk menghabiskan program MIC ON! yang masih berbaki empat minggu lagi," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

TANGKAP layar status yang dimuat naik Azwan selepas dirinya digugurkan daripada menjadi pengacara MIC ON!.
Pada Rabu, Azwan atau lebih dikenali sebagai Diva AA telah mengeluarkan kenyataan balas selepas dirinya digugurkan daripada menjadi pengacara program tersebut dengan mendakwa yang stesen televisyen itu masih melunaskan pembayaran terhadapnya.
Malah, Diva AA turut menyatakan dia berada pihak yang benar dan menganggap buruk padahnya apabila menganiaya anak yatim sepertinya.
Dalam pada itu, Adam berkata, pihaknya tidak akan bertolak ansur sekiranya terdapat mana-mana pihak yang melanggar etika kerja terutamanya yang melibatkan program-program terbitan pihaknya kerana mereka seharusnya memahami amanah dan tanggungjawab yang datang bersama dengan lantikan mereka.
Tamabhnya, pihak produksi juga merancang membawa masuk khidmat hos jemputan untuk digandingkan bersama hos sedia ada, Issey Fazlisham, bagi memeriahkan lagi konsert mingguan MIC ON!. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram