Kuota harian VTL Darat ditambah mulai Isnin — Ka Siong


  • Primer
  • Khamis, 10 Mac 2022

PENUMPANG masih tertakluk kepada keperluan perjalanan VTL Darat sedia ada termasuk menjalani ujian praberlepas. — Gambar hiasan

KUOTA harian bagi penumpang di bawah inisiatif Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL Darat) Malaysia-Singapura akan ditambah daripada 2,160 kepada 3,420 orang mulai Isnin depan (14 Mac 2022).

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, keputusan itu bagi membolehkan lebih ramai penumpang merentasi sempadan Malaysia-Singapura tanpa kuarantin dan lain-lain keperluan yang dikenakan sebelum ini.

Penambahan kuota penumpang itu adalah susulan pengumuman kementerian itu pada 16 Februari lepas untuk meningkatkan kapasiti penumpang daripada 50 peratus kepada 100 peratus.

"Sehubungan itu, penjualan tiket bas untuk tambahan kuota harian ini akan bermula Jumaat bagi perjalanan mulai Isnin (14 Mac) dan seterusnya,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, pengendali bas yang ditetapkan Malaysia di Terminal Larkin di Johor Bahru akan terus mengendalikan VTL Darat ke Singapura dan penumpang masih tertakluk kepada keperluan perjalanan VTL Darat sedia ada termasuk menjalani ujian praberlepas (PDT) dan ujian semasa ketibaan (OAT).

Sementara itu, Ka Siong turut memaklumkan perjanjian VTL Darat dengan Singapura kekal berkuat kuasa sebagai perjanjian dua hala antara kedua-dua negara dalam memastikan keselamatan perjalanan darat melalui Tambak Johor yang lebih baik, walaupun Malaysia akan beralih ke fasa endemik mulai 1 April dengan protokol perjalanan.

"Perjanjian dua hala ini akan diteliti dari semasa ke semasa oleh kedua-dua negara dan sebarang keputusan akan dimaklumkan kelak,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram