SEORANG daripada 10 pemandu tidak akan kembali, itu luahan seorang pemandu aplikasi e-hailing, Grab, Amir Mohd, berhubung promosi syarikat itu untuk menarik kembali pemandunya yang tidak aktif.
Katanya, perkara itu dilihat sukar melainkan syarikat itu melakukan beberapa tindakan yang sepatutnya termasuk memansuhkan fungsi 'auto accept' untuk tugasan e-hailing yang diterima.
Dakwanya juga, Grab kini seolah sudah terdesak untuk menambah kembali jumlah pemandu yang semakin berkurang kerana tidak berpuas hati dengan pengurusan syarikat itu.
"Betul terdesak, ramai tak akan kembali melainkan mansuh auto accept, bayar bonus kawasan untuk pelanggan yang jauh dan komisyen dikurangkan kepada 10 peratus," katanya menerusi satu ciapan di grup laman sosial Facebook, MyCar/ Grab car & DACSEE driver community in malaysia.
Perkongsian tersebut turut disokong oleh ramai pemandu lain yang turut memberi beberapa cadangan jika syarikat itu mahu pemandu kembali aktif.
Seorang pemilik akaun, Pang Lima Subang pula berkongsi cadangan supaya Grab memberi imbuhan kepada pemandu yang setia dan aktif sekurang-kurangnya dua hingga tiga tahun.
"Sepatutnya kena peka dengan pemandu yang sudah bekerja dua hingga tiga tahun, beri imbuhan RM2,000 atau RM3,000 buat penyelenggaraan kenderaan.
"Kalau sudah guna kereta dua tahun ke atas kereta mesti lunyai, keperluan pemandu perlu diberi perhatian, sekadar pandangan," ujarnya.
Seorang lagi pengguna, Abd Wahid pula memberi cadangan supaya Grab mengurangkan radius pelanggan kepada satu kilometer berbanding dua kilometer ketika ini.
Katanya, ketika ini, radius carian pelanggan ditetapkan dua kilometer ke atas yang mana tidak berbaloi untuk pemandu terima dengan kadar tambang yang tidak munasabah.
Terdahulu, Grab menawarkan imbuhan sebanyak RM450 kepada pemandu sedia ada jika dapat menarik kembali e-hailingnya yang tidak aktif untuk kembali berkhidmat.
Tidak hanya itu, pemandu yang kembali menyertai Grab juga akan diberikan imbuhan sebanyak RM50. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram