Segera laksana kad warga asing — MHO


  • Massa
  • Jumaat, 04 Mac 2022

MUSA bercakap pada sidang media berhubung dokumentasi warga asing dan kumpulan tidak bernegara di seluruh Malaysia pada Jumaat. — Bernama

PERTUBUHAN Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) berharap kerajaan segera melaksanakan kad warga asing bagi mengelakkan berlaku sebarang manipulasi daripada kumpulan ekstremis.

Penasihat MHO, Tan Sri Musa Hassan berkata, sekiranya warga asing dan golongan tidak berdokumen tidak dibantu, ia akan menimbulkan unsur kebencian seterusnya menyebabkan mereka menjadi musuh dalam masyarakat.

"Kita tidak mahu mereka ini (warga asing) dimanipulasi oleh kumpulan ektremis yang akhirnya akan mendatangkan bahaya kepada keselamatan negara.

"Kad warga asing ini dapat mengenal pasti latar belakang mereka dan memudahkan penguat kuasa untuk mengambil tindakan serta memastikan mereka tidak terlibat dengan mana-mana pihak yang boleh membahayakan negara," katanya pada sidang media mengenai dokumentasi warga asing dan kumpulan tidak bernegara di seluruh Malaysia di ibu kota pada Jumaat.

Musa yang juga bekas Ketua Polis Negara (KPN) berkata, kerajaan perlu meneliti dalam memilih individu yang layak menerima kad warga asing itu dan melaksanakan sistem biometrik dalam kad tersebut bagi mengelakkan ia disalah guna dan mengukuhkan ciri keselamatannya.

Musa menjelaskan pemberian kad kepada warga asing dan golongan tidak berdokumen termasuk pendatang tanpa izin itu bukan bermaksud memberi kewarganegaraan kerana pemberian kewarganegaraan tertakluk kepada syarat jelas yang ditetapkan dalam Perlembagaan negara.

"Identiti (kad) itu perlu diberikan atas faktor keselamatan dan kemanusiaan. Bukan makna dapat pengenalan dia jadi warganegara... Itu mahu main politik, jangan jadikan ini isu politik," katanya.

Sebelum ini, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kerajaan Negeri Sabah menyatakan akan mewujudkan kad warga asing sebagai dokumen bagi kerajaan mengenal pasti keberadaan warga asing yang tinggal lama di Sabah termasuk kanak-kanak.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, apabila mereka dikenal pasti sebagai warga asing, mereka mungkin boleh digunakan sebagai tenaga kerja dan diberikan kad pekerja. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram