
SEORANG pekerja warga asing ditahan kerana menyentuh punggung salah seorang rakan sekerja wanitanya di Klang, Selangor pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, kejadian itu berlaku pada 9 pagi Rabu.
“Suspek berusia 35 tahun itu ditahan di sebuah gudang di Telok Gong, Klang, Selangor kira-kira jam 11 malam hari sama.
“Mangsa, seorang ibu tunggal berusia 29 tahun, membuat laporan mendakwa suspek telah menyentuh punggungnya semasa mereka bekerja di gudang itu,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, semakan mendapati mangsa telah bekerja di situ selama tiga bulan manakala suspek telah bekerja di situ selama empat tahun.
“Kami menahan suspek di tempat kerja mereka.
“Motif kejadian masih dalam siasatan,” katanya sambil menambah suspek kini direman selama 14 hari.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan seorang wanita. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram