Majikan disenarai hitam jika dera pekerja asing


  • Primer
  • Rabu, 23 Feb 2022

TIADA kompromi bagi mana-mana majikan yang didapati mengambil kesempatan terhadap pembantu rumah asing mereka, seperti tidak membayar gaji. — The Star

MAJIKAN yang dikenal pasti terlibat dengan kes penganiayaan terhadap pembantu rumah asing dan mengambil kesempatan terhadap mereka akan disenarai hitam dan tidak dibenar menggajikan pembantu rumah asing pada masa akan datang.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana majikan yang didapati mengambil kesempatan terhadap pembantu rumah asing mereka, seperti tidak membayar gaji.

"Kes penganiayaan terhadap pembantu rumah asing walaupun terpencil namun menjejaskan imej dan nama baik negara seperti apa yang dilaporkan dalam satu portal media yang menyatakan seorang pembantu rumah warga Indonesia tidak dibayar gaji meskipun telah berkhidmat selama 12 tahun.

"Perkara ini turut menjejaskan usaha kerajaan dalam memuktamadkan memorandum persefahaman (MoU) penggajian pembantu rumah asing dengan negara sumber seperti Indonesia dan Kemboja. Isu sebegini jugalah menyebabkan MoU dengan Kerajaan Republik Indonesia tertangguh dan tidak diperbaharui sejak 2016,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Saravanan berkata, meskipun pembantu rumah asing dikategori sebagai pekerja dalam sektor tidak formal namun mereka mempunyai hak sebagai pekerja dan kebajikan mereka wajar dijaga dengan baik.

Katanya, kontrak pekerjaan pembantu rumah asing turut menggariskan tanggungjawab majikan yang menggajikan mereka ini.

Sehingga 31 Januari 2022, jumlah keseluruhan pekerja warga asing adalah 1,157,481 orang dengan jumlah pembantu rumah asing adalah 86,084 orang.

Majoriti pembantu rumah asing adalah dari Indonesia iaitu seramai 59,605 orang diikuti Filipina (22,803), Vietnam (1,031), Kemboja (976) dan lain-lain.

Saravanan berkata, Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri juga akan terus bekerjasama rapat menerusi Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak serta Jabatan Imigresen untuk menangani isu-isu seumpama itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram