Kejadian wanita marah pekerja, ini nasihat netizen buat kedua-dua pihak


TANGKAP layar video tular yang menunjukkan wanita itu memarahi pekerja kedai berkenaan.

PADA Khamis, tular di media sosial video seorang wanita menengking pekerja sebuah kedai serbaneka 7 Eleven di Terengganu selepas anaknya dituduh mencuri oleh pekerja berkenaan.

Video tersebut mendapat perhatian netizen yang rata-ratanya mengecam tindakan wanita itu dan anaknya kerana bertindak kasar dan agresif.

Wanita itu bagaimanapun sudah meminta maaf atas perbuatannya itu dan berharap orang ramai tidak memanjangkan lagi perkara itu.

Pekerja 7 Eleven tersebut juga dikatakan sudah menafikan bahawa kanak-kanak itu mencuri dan mengesahkan bahawa tiada barang yang hilang.

Seorang pengguna Facebook, Cik Rabiyatul, memuat naik satu hantaran menasihati kedua-dua pihak yang terlibat dalam kejadian itu.

Menurutnya, kejadian itu sepatutnya ditangani secara rasional dan tanpa melibatkan kekasaran.

"Sekiranya anda sebagai juruwang, jika melihat depan mata, tangkap bersama bukti dan beritahu penjaga.

"Sekiranya anda cuma mengandaikan, tolong jangan memalukan kanak kanak tersebut di khalayak ramai dengan menuduh tanpa bukti.

"Jika benar dia melakukannya, beritahu penjaga dengan penuh berhemah, bawakan bukti, periksa CCTV, kemudian buat laporan," katanya.

Tambahnya, naluri seorang ibu pastinya akan berhasrat untuk melindungi dan mempertahankan anaknya apabila dituduh tanpa bukti.

Namun, jelasnya, seorang ibu harus menangani perkara itu dengan tenang dan berkomunikasi dengan perkerja dengan berhemah.

"Jika anda berada di posisi tersebut, tenangkan diri terlebih dahulu, tenangkan anak. Kalau boleh peluk dahulu (anak).

"Sehinggalah anak itu sudah mulai tenang kemudian bawa jumpa jurujual dan minta maaf dahulu. Minta juruwang tersebut bawakan bukti dan minta mereka laporkan pada pihak polis, katakan kita sedia beri kerjasama.

"Tolong, walaupun kita sangat percaya pada anak, elakkan menengking dan buat kecoh dalam keadaan anak kita memerhati perbuatan kita," katanya.

Menurutnya, kelakuan seperti dalam video tersebut akan membuat anak semakin tidak terkawal dan bertambah agresif.

Jelasnya, jika si ibu merasakan bahawa anaknya berada di pihak yang benar, dia boleh menuntut hak pada saluran yang betul.

Tambahnya, merakam perbuatan itu dan menyiarkannya di media sosial bukanlah satu tindakan yang tepat, lebih-lebih lagi terdapat kanak-kanak dalam rakaman tersebut.

"Mungkin perbuatan mencuri itu sangat salah tetapi selesaikanlah guna saluran yang betul.

"Moga kita menjadi bukan hanya masyarakat yang prihatin tetapi juga semakin bijak," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram