SEORANG remaja lelaki berusia 13 tahun ditemukan lemas dipercayai terjatuh di sebuah kolam berhampiran Taman Bukit Saga, Mantin, Negeri Sembilan pada Rabu.
Menurut Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan diketuai Penolong Kanan Penguasa Bomba Saiful Nazri Mohd Nor, mayat remaja berkenaan dikenali sebagai Danny Izzahagi Muhammad Azrul dari Taman Desa Pelangi, Mantin, Negeri Sembilan ditemukan pasukan bomba pada 11.28 malam Rabu.
Ujar Saiful Nazri, bomba menerima panggilan daripada bapa mangsa pada pukul 6.52 petang Rabu berhubung insiden berkenaan.
"Bapa mangsa mencuba menyelam mencari mangsa di kolam tersebut namun tidak berhasil, kemudian telefon bomba untuk bantuan. Mangsa dijumpai di dasar kolam.
"Difahamkan pada 5.30 petang, mangsa bersama empat rakannya memancing di kawasan kolam terbabit dan rakan mangsa memaklumkan mangsa berlari di kawasan tersebut sebelum terjatuh ke dalam kolam,” katanya menerusi satu kenyataan dikeluarkan pada Khamis.
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram