DUA beradik di Kampung Sekayu, Hulu Terengganu, Terengganu bukan sahaja kehilangan banyak harta benda setelah rumah mereka dinaiki air, malah terpaksa menanggung kerugian lebih RM100,000 apabila haiwan ternakan yang dipelihara mati dalam bencana itu.
Seorang penternak, Che Ku Mansor Che Ku Saleh, 65 berkata, beliau hampir tidak percaya apabila melihat 20 ekor kambing yang berada dalam kandang berhampiran rumahnya mati bergelimpangan akibat lemas.
"Sukar hendak gambarkan kesedihan saya kerana tidak sempat mengalihkan semua ternakan ini ke tempat yang lebih selamat. Selain kambing, saya juga kehilangan 40 ekor lembu serta 20 ekor kerbau yang diletakkan di kandang berasingan kira-kira tiga kilometer dari rumah.
"Selepas banjir surut, anak dah cuba cari di kandang tapi tiada. Ini kali pertama saya kehilangan ternakan dalam jumlah yang sangat banyak akibat banjir," katanya ketika ditemui pemberita di Masjid Kampung Sekayu, Hulu Terengganu pada Selasa.
Difahamkan, lebih 20 penternak di kampung itu menerima nasib sama kerana banjir kali ini dikatakan yang terburuk sejak mereka tinggal di kampung itu 50 tahun lalu.
Abangnya, Che Ku Endut, 70, berkata, berdasarkan perbualan dengan penternak yang lain, kesemua mereka masih gagal menemukan ternakan masing-masing setakat ini.
"Saya ada 28 ekor lembu dan semuanya masih hilang. Biasanya kalau banjir, penternak masih ada masa mengalihkan ternakan, namun kali ini paras air naik mendadak dan sangat cepat. Memang kami tidak mampu berbuat apa-apa.
"Bukan setakat ternakan, barang-barang di rumah pun saya tak dapat nak selamatkan. Kami semua hanya memikirkan untuk selamatkan nyawa sendiri dan berpindah sehelai sepinggang," katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram