Mayat mangsa banjir keempat Kelantan ditemukan belakang kedai di Rantau Panjang


  • 112
  • Selasa, 01 Mac 2022

BEBERAPA buah kedai dinaiki air selepas hujan berterusan sejak Jumaat lalu ketika tinjauan di Pekan Rantau Panjang pada Selasa. — Bernama

SEORANG lelaki yang dilaporkan hilang selepas dilihat terjatuh di kawasan banjir dua hari lalu ditemukan lemas di belakang sebuah kedai di Kampung Jejuluk dekat Rantau Panjang di Pasir Mas, Kelantan petang Selasa.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, mayat Ahmad Faizal Zulkefli, 26, ditemukan pada jam 3.30 petang, selepas pencarian dilakukan oleh Unit Skuba Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan serta anggota Balai Polis Rantau Panjang.

"Mayat mangsa telah dihantar ke Klinik Kesihatan Rantau Panjang untuk tindakan lanjut dan penemuan itu sudah dimaklumkan kepada keluarga si mati," katanya.

Beliau berkata, kejadian terbaharu itu merupakan kes kedua melibatkan kehilangan nyawa akibat bencana banjir di Pasir Mas dan yang keempat bagi negeri Kelantan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram