'Masuk mandi berbayar, sekurang-kurangnya sediakanlah lifeguard'


LOKASI kanak-kanak lemas di sebuah pusat rekreasi di Pekan Nanas, Pontian Johor baru-baru ini. — Facebook

MASUK kan berbayar, apa salahnya sediakan pengawal penyelamat (lifeguard).

Itu luahan seorang pengunjung, Siti Amalina Nadia yang juga saksi kejadian seorang kanak-kanak lemas di sebuah pusat rekreasi di Pekan Nanas, Pontian, Johor baru-baru ini.

Katanya lagi, kejadian lemas yang meragut nyawa bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan dan perkara tersebut perlu diambil perhatian pengusaha kolam riadah.

"Satu perkara yang saya perasan sekarang ni, memang susah nak jumpa kolam berbayar yang ada pengawal penyelamat yang sekurang-kurangnya ada ilmu menyelamat orang lemas.

"Biarpun ada orang dewasa yang mengawasi anak mereka, tidak semestinya semuanya tahu bantuan pernafasan mulut ke mulut (CPR) dan inilah pentingnya untuk pemilik kolam pastikan ada petugas yang tahu ilmu menyelamat," katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Selasa.

Tambahnya lagi, dia sedih menyaksikan kejadian lemas di pusat rekreasi berkenaan yang sebelum ini pernah meragut dua nyawa kanak-kanak pada 2018.

Kongsinya lagi, kanak-kanak yang lemas itu dikatakan terjatuh ke dalam bahagian kolam yang dalam di sebelah kemudahan gelongsor.

"Untuk kejadian itu, si ayah sudah berpusing-pusing cari anak dalam 10 minit selepas hilang dari pandangan, lepas tu baru si ayah jumpak anaknya lemas dalam kolam.

"Kolam itu betul-betul berada di sebelah gelongsor yang kanak-kanak lain main. Mungkin lepas seronok-seronok dia naik dari tempat gelongsor dan terus terjun di situ.

"Tanpa dia sedar, memang kawasan itu dalam. Tidak ramai yang main di situ sebab dalam dan mungkin sebab itu tidak ada yang perasan," ujarnya.

Katanya lagi, suaminya turut membantu dan memberikan CPR kepada kanak-kanak yang lemas semasa kunjungan mereka ke kolam rekreasi itu.

Sementara itu, Siti Amalina turut menyeru kepada semua pemilik kolam berbayar supaya mengeluarkan bajet untuk mengambil pengawal penyelamat.

Ia berikutan, jelasnya, lebih ramai pengunjung mahu membawa anak-anak bercuti semasa musim cuti sekolah dan keselamatan mereka perlu diutamakan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram