RAKYAT Malaysia yang berkemungkinan masih berada di Ukraine, diminta menghubungi pejabat perwakilan Malaysia atau Malawakil yang terdekat iaitu di Warsaw, Poland bagi mendapatkan sebarang bantuan.
Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, perkara itu penting memandangkan urusan kedutaan Malaysia di Ukraine masih tergantung ketika ini, selepas semua pegawai dan rakyat Malaysia di negara itu telah selamat dibawa pulang ke tanah air.
"Mungkin ada rakyat Malaysia seorang, dua yang tidak berdaftar dengan Malawakil, dan nasihat kita dia harus berhubung dengan kedutaan kita yang paling dekat dengan Ukraine, iaitu di Warsaw, Poland.
"Ini kerana kita tidak wajibkan rakyat kita yang berada di mana-mana untuk daftar dengan Malawakil, tetapi selalunya apabila berlaku bencana alam dan konflik seperti di Ukraine, kita galakkan rakyat kita melapor dan sekiranya ada seorang, dua lagi, manalah tau, kalau perlu bantuan kita akan bantu seperti biasa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan perbincangan dengan pihak Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di Johor Bahru pada Khamis.
Mengulas mengenai undian sokongan Malaysia pada Sidang Khas Kecemasan Ke-11 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang menerima pakai resolusi ‘Tindakan Keganasan Terhadap Ukraine’, Saifuddin berkata, sokongan itu atas pendirian berprinsip negara.
Jelasnya, Malaysia berpendirian untuk menghormati kedaulatan, kemerdekaan serta integriti wilayah sesebuah negara, selaras dengan piagam PBB.
"Malaysia ada hubungan baik dengan Ukraine dan Rusia, serta kita faham latar belakang perkara yang berlaku ketika ini jadi dengan prinsip menghormati kedaulatan dan integriti wilayah sesebuah negara, kita undi untuk sokong resolusi yang telah dibentangkan,” katanya.
Terdahulu dalam kenyataan Wisma Putra menyatakan Malaysia mengundi menyokong Sidang Khas Kecemasan Ke-11 Perhimpunan Agung PBB, yang menerima pakai resolusi ‘Tindakan Keganasan Terhadap Ukraine’.
Menurut kenyataan itu, meskipun Malaysia tidak bersetuju sepenuhnya dengan kandungan resolusi itu, ia menyatakan sokongan dan membuat undian ke atas resolusi berkenaan, atas prinsip negara yang menghormati kedaulatan, kemerdekaan serta integriti wilayah sesebuah negara amat penting kepada Malaysia.
Resolusi itu, yang diterima pakai oleh majoriti 193 anggota Perhimpunan Agung PBB, menerima 141 undian berpihak, lima membantah dan 35 berkecuali.
Resolusi berkenaan menuntut, "Persekutuan Rusia segera menghentikan kekerasan terhadap Ukraine dan menghindari daripada sebarang ancaman yang menyalahi undang-undang penggunaan kekerasan terhadap mana-mana negara anggota PBB.”
Dalam pada itu, Saifuddin berkata, Malaysia tidak mengiktiraf tuntutan yang dibuat waris Kesultanan Sulu, menerusi prosiding timbang tara di Perancis.
Katanya perkara itu tidak menjejaskan kedudukan Sabah sebagai salah sebuah negeri dalam Malaysia, malah kerajaan Sabah juga tidak mengiktiraf keputusan tersebut.
Menurut laporan media, mahkamah timbang tara Perancis pada Isnin memutuskan bahawa Malaysia telah melanggar perjanjian yang ditandatangani pada 1878 dan memerintahkan membayar pampasan sekurang-kurangnya AS$14.92 bilion (RM62.6 bilion) kepada pewaris Sultan Sulu terakhir. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
