SEPTEMBER 2021 mencatat sejarah buat jurulatih Sheriff Tiraspol, Yuriy Vernydub apabila kelab Moldova itu menewaskan Real Madrid 2-1 di Stadium Santiago Bernabeu di Madrid, Sepanyol pada perlawanan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara.
Pada masa itu, tidak ramai yang akan menyangka bahawa beberapa bulan kemudian Vernydub akan menyertai tentera Ukraine untuk melawan Rusia.
Kisah Vernydub tular di media sosial selepas pemain Sheriff, Gustavo Dulanto berkongsi sokongan buat jurulatihnya di Twitter.
"Semoga Tuhan melindungi DT Yuriy yang pergi ke Ukraine," tulis pemain pertahanan dari Peru itu.
Selain itu, gambar Vernydub berpakaian seragam tentera bersama dua lagi rakan seperjuangan turut tular di media sosial serta menjadi bahan berita media tempatan.
Jurulatih berusia 56 tahun itu dilantik sebagai jurulatih Sheriff pada 18 Disember 2020.
Dia memenangi Divisyen Kebangsaan Moldova pada musim pertamanya di kelab itu dan kemudiannya membawa pasukan itu ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara buat kali pertama dalam sejarah mereka. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram