Askar Ukraine celup peluru dengan lemak babi, tentang pejuang Islam


  • Benua
  • Rabu, 02 Mac 2022

PEJUANG Azov adalah ultra-nasionalis yang dituduh menyimpan ideologi neo-Nazi. — Agensi

PERKONGSIAN video di akaun Twitter, National Guard of Ukraine menunjukkan pejuang Azov melumuri peluru dengan lemak babi, kononnya digunakan untuk menentang Chechen Muslim yang ditempatkan di negara mereka ketika Rusia meningkatkan serangan ketenteraannya ke atas Ukraine.

Azov, unit sayap kanan, tentera infantri sukarela Ukraine, adalah ultra-nasionalis yang dituduh menyimpan ideologi neo-Nazi.

Mereka pertama kali bertempur bersama tentera Ukraine di timur negara itu pada 2014 menentang pemisah pro-Rusia dan sejak itu dimasukkan ke dalam angkatan bersenjata tetap.

Dalam video itu, seorang lelaki yang dikatakan ahli pejuang Azov dilihat mencelup peluru ke dalam satu bahan yang kelihatan seperti lemak babi sambil memberi 'peringatan' kepada pejuang Chechen.

“Saudara Muslim yang dikasihi. Di negara kita, anda tidak akan masuk syurga. Anda tidak akan dibenarkan masuk syurga. Tolong pulang. Di sini, anda akan menghadapi masalah. Terima kasih atas perhatian anda, selamat tinggal," katanya.

Walaupun berkhidmat dalam tentera rasmi, anggota Azov dilaporkan terus memakai lencana Wolfsangel yang digunakan oleh beberapa pejuang Nazi semasa Perang Dunia II.

Presiden Rusia, Vladimir Putin merujuk kehadiran pejuang Chechen dalam tentera sebagai alasan untuk melancarkan "operasi ketenteraan khas bagi mengurangkan angkatan tentera negara dan menghapus ideologi Nazi di Ukraine".

Tentera Rusia juga mendakwa bahawa "Batalion Nazi" membentuk sebahagian besar penentangan terhadap serangan mereka.

Pada Sabtu, pemimpin wilayah Chech Rusia dan sekutu Putin, Ramzan Kadyrov berkata, pejuangnya telah ditempatkan di Ukraine dan menggesa agar kerajaan negara itu digulingkan.

Sebuah video pendek yang diterbitkan oleh saluran berita Rusia menunjukkan beribu-ribu pejuang Chech berkumpul di dataran ibu kota wilayah Grozny untuk menunjukkan kesediaan mereka berperang di Ukraine.

Kadyrov sering menggambarkan dirinya sebagai 'askar kaki' Putin yang mana tentera Chechen sebelum ini telah ditempatkan di Syria dan Georgia.

Perjuangan mereka berpaksi dengan kata-kata pemimpin Rusia yang pada Jumaat menggesa Ukraine untuk bangkit menentang kerajaan mereka sendiri yang dipelopori oleh 'neo-Nazi'.

Bagaimanapun, kerajaan Ukraine menolak sekeras-kerasnya perjuangan itu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram