Rakyat Ukraine di Malaysia bimbangkan kampung halaman, rayu bantuan masyarakat global


  • Massa
  • Rabu, 02 Mac 2022

VLADIMIR Putin pada Khamis lalu mengumumkan Rusia akan melancarkan "operasi ketenteraan khas" ke Ukraine. — Gambar Fail

MUSNAH! Kata-kata penuh emosi yang diluah dan dikongsi oleh warga Ukraine yang tinggal di Malaysia tentang perasaan mereka akan konflik Rusia-Ukraine.

Bagi Svitlana, 29, seorang Eksekutif Pemasaran yang bekerja di ibu negara, berita mengenai kampung halamannya Kherson telah dikuasai selepas pertempuran panjang pada malam Jumaat (25 Februari) tidak dapat diterima dan beliau sendiri tidak percaya bahawa kampungnya kini tidak lagi seperti dahulu.

"Keluarga saya tidak percaya bahawa perang sebenarnya akan berlaku. Mereka kekal di situ, pergi bekerja, meneruskan rutin harian seperti biasa sehinggalah Rabu lalu.

"Mereka langsung tidak bercadang meninggalkan rumah, walaupun sebelum ini saya meminta mereka untuk tinggal sementara bersama saudara-mara kami di Barat Ukraine. Mereka menolaknya. Tetapi bila sudah bersedia untuk pergi, kami menerima berita tentera Rusia mengambil alih Khahovka dan Velyki Kopani,” katanya.

Meskipun tidak banyak yang boleh dilakukan buat keluarganya di kampung, Svitlana yakin masyarakat global memihak kepadanya dan rakyat Ukraine lain di seluruh dunia.

"Saya tidak kisah jika hanya saya yang berdiri bersama Ukraine, berkongsi siaran dan maklumat. Saya bersedia untuk menghadapi tentangan daripada orang yang berbeza pendapat. Saya bersedia untuk terus melakukan sesuatu selagi perang ini berterusan.

"Kerana saya tahu saya tidak berseorangan. Ramai lagi warga Ukraine, Rusia, Malaysia dan rakyat negara lain di Malaysia yang menyokong Ukraine,” katanya.

Berasal dari sebuah pekan kecil Myrnohrad di wilayah Donestk, Oksana Sielina, 37, berkata, "mimpi ngeri" yang berlaku sekarang merupakan tragedi besar yang membuatkan beliau berasa bimbang, takut dan kecewa.

Seperti keluarga Svitlana, keluarga Oksana juga tidak percaya perang akan berlaku. "Mereka bimbangkan nyawa mereka dan anak-anak, namun tiada tempat untuk lari dan terpaksa tinggal di situ.

"Mereka yang berkemampuan akan melawan,” kata Oksana, seorang guru sambil berkata, dia dan warga Ukraine lain di Malaysia akan menderma ke laman web savelife.in.ua untuk membantu.

Selain berkongsi fakta dengan masyarakat antarabangsa, beliau menyeru semua kerajaan di dunia tampil dan menyatakan pendirian yang jelas untuk mengecam penceroboh.

Bagi Olga Vasianovych, 37 tahun, hatinya menangis memikirkan ahli keluarganya yang sanggup tinggal di sana untuk melindungi tanah mereka.

Tidak pernah terlintas dalam fikirannya bahawa peperangan seperti itu boleh berlaku di negaranya yang indah dan damai.

Bapanya yang disifatkan sebagai seorang yang berjiwa pejuang dan patriotik pernah memberitahunya;"Saya masih berguna kepada Ukraine. Sekurang-kurangnya saya boleh menyusup di bawah kereta kebal dan menghentikan serangan Rusia!".

Olga, yang dalam proses menamatkan pengajian Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Undang-undang, dengan rendah hati meminta agar Malaysia dan komuniti global membantu Ukraine.

"Kami memerlukan doa dan suara anda di media sosial, kami memerlukan bantuan kewangan untuk tentera Ukraine mempertahankan wilayah kami," kata wanita itu.

Seruan yang sama disuarakan oleh Lidiya Murugan, 39, Presiden Persatuan Kebudayaan Ukraine di Malaysia, yang turut kecewa dengan serangan ke atas tanah airnya.

Lidiya berkata, antara rancangannya untuk membantu rakan warga Ukraine adalah dengan mengambil bahagian dan mendidik masyarakat di Malaysia.

"Bagi saya Malaysia merupakan rumah saya dan rakyatnya adalah keluarga saya. Ini (pencerobohan) bukan krisis Ukraine tetapi krisis kemanusiaan,” katanya.

Presiden Rusia, Vladimir Putin pada Khamis lalu mengumumkan Rusia akan melancarkan "operasi ketenteraan khas" ke Ukraine.

Media antarabangsa melaporkan rundingan antara pegawai Ukraine dan Rusia pada Isnin di sempadan Ukraine-Belarus tidak menemui kata putus dalam menghentikan konflik itu.

Sementara itu, artis, penulis dan peminat fesyen kelahiran Rusia, Natalya Bronzova, mempertahankan tindakan negaranya terhadap Ukraine dengan mendakwa pada masa ini Rusia melakukan proses menjadikan kawasan itu bebas tentera, bertujuan memusnahkan hanya objek perang, dan tidak mensasarkan bandar mahupun orang awam.

"Saya harap tentera Rusia menunaikan misi mereka segera dan keamanan akan kembali tidak lama lagi,” katanya menerusi mesej WhatsApp.

Natalya berkata, Vladimir Putin sangat mengambil berat akan rakyat Ukraine kerana beliau masih membekalkan gas kepada mereka dan memastikan liputan internet berterusan meskipun boleh menyekatnya dengan kapasiti teknologi yang dimilikinya.

"Ia menunjukkan beliau mengambil berat tentang keperluan harian orang ramai," katanya.

Sementara itu, beberapa rakyat Malaysia turut menggunakan Twitter untuk menyatakan pandangan mereka tentang konflik itu, dengan seorang pengguna Twitter Rahman Ariffin berkata: Perang Ukraine akan berakhir beberapa minggu dari hari ini. Dan selepas itu dunia hanya akan mempunyai AS dan China sebagai kuasa besar. Rusia akan menjadi satu lagi negara yang bermasalah.

Seorang pengguna Twitter yang dikenali dengan nama Abah mempersoalkan tindakan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy membebaskan tahanan yang berpengalaman dalam pertempuran untuk melawan tentera Rusia.

Selain itu, pemilik akaun Twitter Chan Quin Er dalam ciapannya mengimbau kembali peristiwa tragis MH17.

"Pada 17 Julai 2014, Malaysia menjadi mangsa pertama pencerobohan Rusia di Ukraine. Jangan lupa MH17. Kami berdiri bersama keamanan dan kemanusiaan. Kami bersama rakyat Ukraine. Salam sayang dari Malaysia,” tulisnya di Twitter. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram