KANAK-KANAK perempuan berusia sembilan tahun di Sarawak yang diberhentikan sekolah kerana status kewarganegaraannya, hanyalah salah seorang daripada sebilangan besar kanak-kanak di Malaysia yang dinafikan hak asasi mereka untuk mendapat pendidikan.
Anggaran konservatif menunjukkan bahawa lebih 300,000 kanak-kanak di Malaysia kini dinafikan pendidikan kerana mereka tidak mempunyai kerakyatan, pelarian, pencari suaka dan tidak memiliki dokumen rasmi untuk membuktikan mereka adalah warganegara.
Penafian akses pendidikan ini berlaku dalam negara yang mengamalkan polisi menyokong pendidikan untuk semua kanak-kanak di Malaysia tanpa mengira status kewarganegaraan mereka.
"Dasar tersebut adalah Dasar Pendidikan Kebangsaan (2017) yang menyatakan pendidikan rendah diwajibkan kepada semua kanak-kanak berumur enam hingga 12 tahun termasuk bukan warganegara.
"Dasar Penolakan Sifar yang dilancarkan pada 2018 untuk memastikan semua kanak-kanak di negara ini, termasuk kanak-kanak bukan warganegara akan mendapat akses kepada pendidikan.
"Malahan ucapan Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin sempena Hari Guru pada Mei 2021, di mana beliau berikrar bahawa tiada pelajar di Malaysia, termasuk kanak-kanak bukan warganegara, akan dinafikan pendidikan sewajarnya, " menurut kiriman surat yang ditandatangani oleh 105 individu, wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta organisasi masyarakat sivil.
Surat itu turut mempersoalkan mengapa sekolah meminta dokumen kewarganegaraan sebelum menerima kanak-kanak tersebut bagi pendidikan asas.
"Mengapa sebilangan besar individu tanpa kerakyatan di Sabah dan Sarawak terus dinafikan hak yang sama seperti anak-anak kita yang lain?
"Mengapa kanak-kanak pelarian tidak diberi peluang untuk belajar walaupun kemahiran asas membaca dan menulis?
"Adakah ini masalah 'Napoleon kecil' tempatan atau dasar Kementerian Pendidikan (KPM) yang ke belakang?
"Analisis baru-baru ini oleh Dr Tharani Loganathan dan rakan-rakannya di Universiti Malaya berhubung kegagalan untuk memberikan pendidikan kepada kanak-kanak tersebut, wajar dibaca.
"Ia mengetengahkan semua isu dan masalah yang dihadapi oleh pelarian dan pencari suaka, pendatang asing serta mereka yang tidak memiliki kerakyatan di Malaysia.
"Kita mempunyai rakyat Malaysia dan kerajaan yang giat memperjuangkan hak kanak-kanak Palestin sejauh 7,600 kilometer tetapi tidak untuk mereka yang berada di negara ini.
"Kita perlu menyelesaikan masalah ini secara dalaman.
"Kemiskinan adalah perangkap seumur hidup yang sangat sukar untuk keluar dan memberi kesan buruk kepada kanak-kanak dan keluarga mereka.
"Kita semua tahu bahawa pendidikan mewujudkan peluang untuk kanak-kanak dan keluarga keluar daripada perangkap itu.
"Menafikan pendidikan kanak-kanak ini membuatkan masa depan mereka terus dibelenggu kemiskinan.
"Kanak-kanak ini bukanlah angka atau statistik tetapi kehidupan sebenar yang dirosakkan oleh tingkah laku dan tindak balas kita.
"Oleh itu, kami merayu kepada KPM untuk menguatkuasakan dasar dan aspirasi negara bagi menyediakan pendidikan berkualiti kepada setiap kanak-kanak di Malaysia.
"Mana-mana negara yang tidak menyediakan makanan, tempat tinggal, pendidikan dan penjagaan kesihatan kepada semua kanak-kanak sebagai hak asasi yang asas, tanpa mengira status kewarganegaraan mereka, adalah negara yang gagal," ujar surat itu lagi. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
