Calon SPM positif Covid-19, duduki sidang kedua April


  • Primer
  • Rabu, 02 Mac 2022

SERAMAI 407,097 pelajar menduduki SPM di 3,000 pusat peperiksaan seluruh negara.— KK SHAM/The Star

CALON peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 yang disahkan positif Covid-19 atau sedang berada dalam tempoh kuarantin akan dibenarkan untuk menduduki peperiksaan berkenaan pada sidang kedua, April nanti.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, sehubungan itu calon-calon hanya perlu memaklumkan perkara itu kepada pihak sekolah.

Menurut beliau, calon berkenaan atau ahli keluarga mereka hanya perlu membuat surat deklarasi secara bertulis dan menyertakan dokumen berkaitan.

"Pengetua akan sahkan sama ada benar pelajar itu positif dengan menunjukkan bukti di aplikasi MySejahtera, selain ada tiga borang deklarasi dan surat bertulis.

"Jadi calon dan keluarga mereka tidak perlu berasa risau, kalau mereka ada bukti tersebut, mereka boleh menduduki SPM sidang kedua iaitu pada April nanti," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Masai 2, di Johor Bahru, Johor pada Rabu sempena hari pertama berlangsungnya ujian bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Bagi peperiksaan SPM 2021 ini, seramai 407,097 pelajar menduduki peperiksaan berkenaan di 3,000 pusat peperiksaan seluruh negara, manakala seramai 50,317 daripada mereka merupakan calon dari negeri ini.

Radzi berkata, bagi calon yang baru diketahui positif Covid-19 ketika sedang menduduki peperiksaan pula, mereka akan diletakkan di sebuah bilik khas yang disediakan di sekolah terbabit.

Sementara itu, berhubung lawatan beliau ke sekolah berkenaan, beliau berkata, SPM 2021 ini berlangsung dalam skala lebih besar apabila ia dilaksana dengan menggunakan hampir kesemua kelas di sekolah.

"Seperti mana kita lihat, proses ini amat besar dan menyeluruh, hampir semua kelas digunakan dan kita akan terus meninjau keadaan dari semasa ke semasa untuk memastikan perjalanan SPM ini berlangsung dengan teratur dan selamat," katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

SPM, Johor, Radzi Jidin, Covid-19, sidang kedua