Tiada kenaikan tambang tol tahun ini


  • Primer
  • Rabu, 02 Mac 2022

KERAJAAN tahun lalu menangguhkan kenaikan kadar tol yang dijadualkan bagi tiga lebuh raya utama bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Disember, dan turut menangguhkan kenaikan tambang tol bagi 26 lebuh raya lain. — The Star

TIADA kenaikan tambang tol tahun ini berikutan penangguhan kenaikan kadar tol yang dilaksanakan sepanjang 2021, akan diteruskan hingga 2022, kata Kementerian Kerja Raya.

Tahun lalu, kerajaan menangguhkan kenaikan kadar tol yang dijadualkan bagi tiga lebuh raya utama bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Disember, dan turut menangguhkan kenaikan tambang tol bagi 26 lebuh raya lain.

Tiga lebuh raya utama itu melibatkan Lebuhraya Shah Alam (Kesas), Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2).

"Kerajaan telah memutuskan untuk menstruktur semula kadar tol dan ini akan dirundingkan dengan syarikat konsesi lebuh raya dan mesti dimuktamadkan sebelum 2023.

"Sepanjang tempoh rundingan, kadar tol yang diwartakan dikekalkan dan penangguhan kenaikan kadar tol akan diteruskan untuk 2022," kata kementerian itu menerusi jawapan bertulis Parlimen.

Ini bagi menjawab soalan Gobind Singh Deo (PH-Puchong) yang meminta Kementerian Kerja Raya menyatakan status kenaikan tambang tol yang ditangguhkan pada 2021 dan sama ada kenaikan itu akan dilaksanakan pada 2022.

Kementerian Kerja Raya menambah, berdasarkan perjanjian konsesi yang ditandatangani, sekiranya kerajaan melaksanakan tambang tol lebih rendah daripada kadar yang dipersetujui atau memansuhkan kutipan tol, kerajaan perlu membayar pampasan kepada syarikat konsesi.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Kabinet membuat keputusan itu memandangkan peningkatan kos sara hidup akibat pandemik Covid-19. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram