Kereta lawan arus bertembung di Petaling Jaya, seorang maut


  • 112
  • Sabtu, 26 Feb 2022

KEJADIAN berlaku kira-kira pukul 1 pagi mengakibatkan seorang maut manakala seorang lagi cedera.

SEORANG pemandu maut manakala seorang cedera dalam kemalangan membabitkan dua buah kereta di Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (Sprint) pada Sabtu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 1 pagi itu, kedua-dua kenderaan berkenaan bertembung di kilometer (km) 6.2 arah Hartamas menghala Plaza Tol Pantai.

"Pemandu Perodua Axia seorang lelaki berumur 28 tahun telah membuat pusingan U di Plaza Tol Pantai lalu memandu secara melawan arus dan melanggar sebuah Proton Saga di lorong paling kiri.

"Pemandu Perodua Axia mengalami kecederaan parah di bahagian dada dan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu Proton Saga seorang lelaki, berumur 25 tahun telah dihantar ke Hospital Pantai Kuala Lumpur," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Sehubungan itu, beliau memohon saksi kejadian supaya tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 032071 9999, atau Hotline JSPT 0320260267/69 untuk membantu siasatan.

Tambahnya, kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram