SEMUA kebimbangan keselamatan Rusia mesti diambil kira untuk penyelesaian di Ukraine.
Perkara itu dimaklumkan oleh Presiden Rusia, Vladimir Putin sewaktu perbualan telefon dengan rakan sejawatannya dari Perancis, Emmanuel Macron pada Isnin.
Putin menegaskan kembali bahawa penyelesaian hanya boleh dicapai jika kebimbangan keselamatan Rusia diambil kira, termasuk 'kedaulatan Rusia ke atas Crimea' serta komitmen negara untuk menyelesaikan tugas-tugas 'menjadikan kawasan itu bebas tentera' dan 'bebas daripada pengaruh Nazi' Ukraine dan isu status berkecuali Ukraine.
Tambah Putin, Rusia terbuka kepada rundingan dengan Ukraine dan berharap agar ia akan membawa kepada keputusan yang diinginkannya.
"Pihak Perancis menyatakan pandangannya yang sudah diketahui berhubung operasi ketenteraan khas Rusia dan menyatakan harapan untuk penyelesaian segera konflik menerusi dialog," kata Kremlin menerusi satu kenyataan dikeluarkan.
Jelas Putin, angkatan tentera Rusia tidak menyerang tempat-tempat awam dan tidak menimbulkan ancaman kepada orang awam.
"Sebaliknya, nasionalis Ukraine, yang menggunakan penduduk awam mereka 'sebagai perisai manusia', adalah ancaman sebenar," kata Putin.
Menurut kenyataan pejabat Perdana Menteri Perancis, Macron meminta Rusia menghormati undang-undang antarabangsa dan melindungi penduduk awam.
"Macron menegaskan semula keperluan untuk pelaksanakan segera gencatan senjata. Putin dan Macron juga bersetuju untuk terus berhubung dalam beberapa hari akan datang," menurut kenyataan tersebut.
Dalam perkembangan berlainan, Ukraine masih belum mencapai keputusan yang diinginkannya sewaktu rundingan bersama Rusia.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy berkata, Ukraine dibom ketika rundingan sedang berjalan di Belarus antara delegasi dari Ukraine dan Rusia.
Tambahnya, Ukraine akan menganalisis perkembangan dan memutuskan bagaimana pusingan kedua rundingan akan berjalan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram