POLIS Pulau Pinang menyerbu sebuah premis yang menjalankan kegiatan perlombongan mata wang digital Bitcoin secara haram dan merampas 100 mesin bernilai RM100,000 di sebuah rumah kedai tiga tingkat di Air Itam, George Town baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asistan Komisioner Soffian Santong berkata, dalam serbuan pada 3.30 pagi Selasa lalu itu, polis pada mulanya menahan empat orang lelaki dalam serbuan yang berasingan di kawasan Air Itam.
"Pemeriksaan mendapati terdapat 100 mesin bitcoin bersama beberapa peralatan komputer yang kesemuanya bernilai RM100,000 di rumah kedai itu dan siasatan awal oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) mendapati terdapat penyambungan haram bagi tujuan mencuri elektrik.
"Anggaran kerugian oleh TNB adalah sebanyak RM24,000 dan siasatan juga mendapati premis itu dijadikan tempat perlombongan bitcoin secara haram sejak 1 Januari lalu," jelasnya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, keempat-empat lelaki berumur lingkungan 27 hingga 36 tahun yang ditahan dipercayai ahli sindiket perlombongan mata wang digital bitcoin secara haram dan mereka direman untuk siasatan lanjut.
Ujarnya lagi, kes itu disiasat mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram